Pemandu maut, lori terbabas langgar tebing

Keadaan lori yang dipandu mangsa selepas terbabit kemalangan di KM43.5 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak di sini pada awal pagi Khamis.
Keadaan lori yang dipandu mangsa selepas terbabit kemalangan di KM43.5 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak di sini pada awal pagi Khamis.
A
A
A

BENTONG - Seorang lelaki maut selepas lori muatan gula yang dipandunya terbabas melanggar tebing bukit di Kilometer 43.5 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak di sini pada awal pagi Khamis.

Dalam kejadian jam 4 pagi itu, mangsa, Mohamad Rahiziikmal Mohamad Her, 27, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari sebuah kilang gula di Shah Alam menghala ke Kuantan.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian lori dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kiri sebelum melanggar tebing bukit berhampiran.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, orang ramai yang melihat kejadian itu diminta tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.

Tambahnya, lokasi tersebut dikenal pasti kerap berlaku nahas di mana 14 kes kemalangan direkodkan pada tahun ini.

"Daripada jumlah kes yang dilaporkan itu, empat kes melibatkan kemalangan maut.

Artikel Berkaitan:

"Pengguna laluan itu dinasihatkan agar lebih berhati-hati dan memastikan kenderaan dipandu sentiasa dalam keadaan baik," katanya.

Pada 2 September lalu, pemandu lori, Nazli Misnon, 56, dan kelindannya, Anwar Tushali Arimi Mualimin, 25, maut selepas terlibat dalam kemalangan di lokasi berkenaan.

Lori membawa muatan baja dalam perjalanan ke Raub itu dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh di lokasi kejadian sebelum terjunam ke dalam gaung.