Kondominium jadi 'port' panggilan judi online

Mohd Fazley (gambar kecil) melihat operasi perjudian yang dilakukan di kondominium terbabit.
Mohd Fazley (gambar kecil) melihat operasi perjudian yang dilakukan di kondominium terbabit.
A
A
A

NILAI - Dua unit kondominium berhampiran sebuah pusat membeli belah di sini yang dijadikan 'call center' bagi satu sindiket perjudian dalam talian diserbu pihak polis pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superitendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, serbuan kira-kira jam 8.45 pagi itu dilakukan hasil maklumat dan risikan pihaknya selama lima hari.

"Dalam serbuan berkenaan, lima lelaki dan empat wanita termasuk seorang lelaki tempatan berusia antara 25 tahun hingga 36 tahun telah ditahan.

"Hasil siasatan awal mendapati, lapan daripada mereka adalah warga Indonesia ditugaskan untuk mencari pelanggan dengan dibayar gaji antara RM2,000 ke RM2,500 sebulan," katanya pada sidang akhbar di lokasi serbuan pada Khamis.

Antara dua suspek yang ditahan dalam serbuan terbabit.
Antara dua suspek yang ditahan dalam serbuan terbabit.

Mengulas lanjut, Mohd Fazley berkata, sindiket yang beroperasi di tingkat enam dan 33 kondominium itu sudah beroperasi sejak lima bulan ke setahun lalu.

Beliau berkata, modus operandi digunakan ialah dengan menyasarkan pelanggan dari Indonesia yang mana promosi dilakukan melalui aplikasi Whatsapp dan Line.

Artikel Berkaitan:

"Lima jenis judi yang diiklankan dengan nilai taruhan antara RM8,000 ke RM10,000 yang mana jika berjaya, pelanggan akan diberi ganjaran secara transaksi dalam talian.

"Polis percaya sindiket itu menjadikan unit kondominium terbabit sebagai lokasi operasi kerana kawasannya yang agak sunyi dan berada dalam kawasan pusat membeli belah bertujuan mengaburi pihak berkuasa," katanya.

Mohd Fazley melihat operasi perjudian dilakukan di kondominium terbabit.
Mohd Fazley melihat operasi perjudian dilakukan di kondominium terbabit.

Jelas beliau, polis masih mengenal pasti pemilik unit kondominium berkenaan yang disewakan antara RM1,200 ke RM1,800 sebulan.

Mohd Fazley berkata, dalam serbuan terbabit turut dirampas 13 komputer, tujuh unit proses pemprosesan pusat (CPU) dan 39 telefon bimbit pelbagai jenama.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) dan 1(g) Akta Judi Rumah Terbuka 1953 dan Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit ( Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.