Bilangan penganggur catat peningkatan pada Julai

Jabatan Perangkaan Malaysia rekodkan bilangan penganggur di negara ini menunjukkan sedikit peningkatan dengan 778,000 orang pada Julai, namun kadar pengangguran kekal pada 4.8 peratus. - Foto 123RF
Jabatan Perangkaan Malaysia rekodkan bilangan penganggur di negara ini menunjukkan sedikit peningkatan dengan 778,000 orang pada Julai, namun kadar pengangguran kekal pada 4.8 peratus. - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) merekodkan bilangan penganggur di negara ini menunjukkan sedikit peningkatan dengan 778,000 orang pada Julai, namun kadar pengangguran kekal pada 4.8 peratus.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, perolehan itu berdasarkan laporan Statistik Tenaga Buruh, Malaysia, Julai 2021 yang dikeluarkan pada Khamis.

"Julai 2021 menyaksikan bilangan guna tenaga terus menurun namun pada kadar yang perlahan manakala pengangguran merekodkan sedikit peningkatan.

"Pada awal bulan tersebut, seluruh negara beralih ke Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) mengambil kira faktor peningkatan berterusan jumlah kes baharu Covid-19 dan kadar vaksinasi yang semakin tinggi.

"Kemudiannya, secara berperingkat sebanyak lapan negeri telah beralih ke Fasa 2 PPN dengan pelonggaran sekatan yang membenarkan lebih banyak aktiviti ekonomi beroperasi dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP)," katanya.

Tambahnya, susulan kelonggaran sekatan yang dilaksanakan kerajaan secara berperingkat itu, ia membawa kepada beberapa kesan positif terhadap ekonomi dan seterusnya kepada kedudukan tenaga buruh di negeri-negeri tersebut.

Walau bagaimanapun, Mohd Uzir berkata, lapan negeri dengan liputan sekitar 52 peratus tenaga buruh di Malaysia masih kekal berada dalam Fasa 1 PPN.

"Bagi Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula, sebahagian besar daerah dan lokaliti di kedua-dua negeri ini berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Diperketatkan pada 3 hingga 16 Julai 2021 yang menyebabkan aktiviti ekonomi dan perkhidmatan tidak penting telah dihentikan seketika.

Artikel Berkaitan:

"Justeru, penurunan bulan ke bulan yang lebih kecil iaitu sebanyak 0.02 peratus dalam bilangan penduduk bekerja dicatatkan pada Julai 2021 kepada 15.29 juta orang (Jun 2021: -0,5 peratus; 15.30 juta orang) dengan nisbah guna tenaga kepada penduduk kekal pada 65.0 peratus.

"Sebaliknya, bilangan penganggur meningkat sedikit sebanyak 1.2 peratus kepada 778.2 ribu orang (Jun 2021: 5.6 peratus; 768.7 ribu orang). Kadar pengangguran pada bulan tersebut kekal pada 4.8 peratus berbanding bulan sebelumnya manakala perbandingan tahun ke tahun, menurun sebanyak 0.1 mata peratus (Julai 2020: 4.7 peratus).

"Begitupun, bilangan tenaga buruh pada Julai 2021 meningkat sedikit 0.04 peratus (Jun 2021: -0.2 peratus) merekodkan 16.07 juta orang setelah mencatatkan penurunan pada bulan-bulan sebelumnya," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut memberitahu kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) pada bulan ini kekal pada 68.3 peratus.

Jelasnya, mengikut sektor ekonomi, semua sektor mencatatkan penurunan bulan ke bulan kecuali sektor Perkhidmatan dengan perubahan positif yang kecil setelah merekodkan penurunan pada bulan sebelumnya.

"Perkhidmatan makanan & minuman; Pengangkutan & penyimpanan; dan Maklumat & komunikasi merupakan antara penyumbang utama kepada pertumbuhan positif dalam sektor Perkhidmatan.

"Dari segi taraf pekerjaan, kategori pekerja yang merupakan komposisi terbesar penduduk bekerja, menurun sebanyak 0.02 peratus kepada 11.87 juta orang pada Julai 202," katanya.

Bagaimanapun katanya, kategori penduduk bekerja sendiri terus meningkat selama enam bulan berturut-turut dengan pertambahan bulan ke bulan sebanyak 0.3 peratus mencatatkan 2.50 juta orang pada Julai 2021.

"Selaras dengan kebenaran lebih banyak sektor ekonomi dan perkhidmatan untuk beroperasi dengan pematuhan kepada SOP ketika Fasa 1 dan Fasa 2 PPN, bilangan penduduk bekerja yang tidak bekerja buat sementara waktu menurun sebanyak 3.1 peratus merekodkan 776.3 ribu orang pada Julai 2021 (Jun 2021: 801.1 ribu orang) setelah mencatatkan peningkatan selama dua bulan berturut-turut," katanya.