X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 18 Mei 2022

Sebahagian besar laluan tengah terowong Kuantan ECRL di Terengganu

Walaupun namanya Terowong Kuantan, uniknya terowong ECRL itu ialah sebahagian besar laluan tengahnya berada di negeri Terengganu meskipun ‘jalan’ masuk dan keluar terletak di Pahang.
A
A

KUANTAN - Walaupun namanya Terowong Kuantan, uniknya terowong Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) itu ialah sebahagian besar laluan tengahnya berada di negeri Terengganu meskipun ‘jalan’ masuk dan keluar terletak di Pahang.

Ketua Pembinaan Infrastruktur Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Noor Azlan Salleh berkata, hanya 34 peratus atau 976 meter (m) daripada 2.8 kilometer (km) panjang keseluruhan terowong itu berada di negeri Tok Gajah manakala bakinya melintasi bumi Terengganu.

"Laluan masuk adalah di Alor Batu di Jabor (Kuantan) melibatkan perjalanan sepanjang 481m sebelum memasuki Terengganu sepanjang 1.8km dan kembali semula ke Pahang pada 495m akhir terowong untuk keluar di Bukit Galing di sini," katanya kepada pemberita semasa ditemui di tapak pembinaan terowong itu di sini pada Khamis.

Noor Azlan berkata, Terowong Kuantan juga merupakan terowong terpanjang bagi Seksyen B ECRL yang melibatkan perjalanan dari Dungun, Terengganu ke Temerloh, Pahang dan kedua terpanjang bagi terowong ECRL di negeri ini, iaitu selepas terowong di Bentong sepanjang 16km.

Jumlah keseluruhan terowong ialah 59 dengan dua daripadanya melibatkan 'perjalanan merentas negeri' iaitu bagi laluan sempadan Pahang-Selangor dari Bentong ke Gombak dan sempadan Terengganu-Kelantan di Jerteh ke Pasir Puteh.

MRL ialah pemilik projek dan aset ECRL manakala China Communications Construction Company Ltd (CCCC) merupakan kontraktor utama projek itu yang melibatkan jarak keseluruhan 665km, merentasi empat negeri iaitu Selangor, Pahang, Terengganu dan Kelantan, dengan jangkaan siap pada suku akhir tahun 2026.

Projek ECRL bermula di Kota Bharu, Kelantan dan tamat di Lembah Klang, Selangor yang menawarkan perkhidmatan kereta api penumpang pada kelajuan 160 km/j dan 80 km/j bagi kereta api kargo dijangka dapat mengurangkan waktu perjalanan menjadi empat jam berbanding tujuh jam mengikut jalan darat.

Noor Azlan berkata, setakat ini, Terowong Kuantan berada di fasa pengorekan sekitar 65 peratus daripada jumlah keseluruhan panjang terowong dengan kerja-kerja letupan dilakukan di kedua-dua arah laluan masuk dan keluar, sejak beberapa bulan lalu.

Kerja pengorekan dijangka selesai pada suku ketiga tahun depan manakala jangkaan siap sepenuhnya ialah pada April 2023, yang menurut Noor Azlan, setakat ini pelaksanaan adalah berjalan mengikut perancangan walaupun berlaku sedikit 'perbezaan jadual' akibat pandemik Covid-19.

"Proses letupan dilakukan sebanyak dua atau maksimum tiga kali sehari, melibatkan proses penggerudian bagi memasukkan bahan letupan ke dalam batu dengan kadar letupan adalah bergantung pada jenis batuan yang dihadapi.

"Batuan keras seperti granit boleh menjangkau ke empat meter bagi satu letupan dengan bahan letupan digunakan ialah sekitar 200 hingga 300kg dengan jangkaan jumlah keseluruhan tanah dan batuan yang digali bagi pembinaan Terowong Kuantan ialah 380,000 meter padu," katanya.

Noor Azlan berkata, kerja pengorekan berjalan 24 jam sehari melibatkan 280 pekerja warga tempatan dan luar negara, dan jenis batuan akan menentukan 'cepat lambat' proses itu dapat disiapkan.

Kerja pengorekan lebih cepat dilakukan jika kawasan terlibat terdiri daripada batuan keras berbanding tanah, seperti di Terowong Paka, Terengganu sepanjang 1.1km dapat disiapkan pada 9 April lepas, enam bulan lebih awal daripada jangkaan awal, disebabkan keadaan geografi tersebut.

Selain faktor geografi, Noor Azlan berkata, mereka juga berdepan dengan cabaran lojistik bahan letupan di peringkat awal proses pengorekan bermula, namun ia dapat diselesaikan dengan kerjasama daripada pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan bahan berbahaya itu berada di tahap terbaik.

"Pembinaan terowong ini bertujuan untuk memelihara kelestarian alam sekitar di sepanjang laluan ECRL, seperti kawasan rizab hutan dan memastikan hidupan liar tidak terganggu berbanding kaedah dahulu yang sering digunakan iaitu memotong cerun.

"Kos untuk membina terowong adalah lebih mahal iaitu antara tujuh ke lapan kali berbanding kaedah lama. Malah, keputusan membina terowong adalah satu daripada keputusan paling penting dalam pelaksanaan ECRL demi alam sekitar," katanya. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!