Kadar kemiskinan negara meningkat 8.4 peratus pada 2020

Mustapa
Mustapa
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kadar kemiskinan negara meningkat kepada 8.4 peratus pada tahun lepas berbanding 5.6 peratus yang direkodkan pada 2019.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan juga menganggarkan bahawa jumlah kemiskinan isi rumah di Malaysia telah meningkat daripada 405,000 pada 2019 kepada 640,000 pada tahun lepas.

Beliau berkata, peningkatan tersebut yang turut dialami oleh kebanyakan negara lain di seluruh dunia itu sebahagian besarnya berpunca daripada keadaan ekonomi yang terjejas ekoran penularan Covid-19.

“Ini adalah panggilan peringatan untuk kita semua pembuat dasar supaya meningkatkan dan melaksanakan reformasi serta polisi bagi membendung kemiskinan.

“Ia termasuklah usaha meningkatkan taraf hidup mereka yang berada dalam kumpulan yang mengalami nasib kurang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada pembukaan International Forum On New Inclusive Asia 20201 (IFNIA 2021) bertemakan Poverty Alleviation in China - Lessons for Developing Countries yang diadakan secara maya pada Khamis.

Mustapa berkata, Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang akan dibentangkan pada 27 September ini di Dewan Rakyat akan menjadikan pembasmian kemiskinan sebagai antara isu yang diberikan perhatian utama.

Menurutnya, usaha untuk membasmi kemiskinan merupakan agenda yang sentiasa dimasukkan dalam pelan pembangunan negara sejak dari kemerdekaan.

Artikel Berkaitan:

"Usaha membasmi kemiskinan dan meningkatkan taraf hidup kumpulan yang kurang bernasib seharusnya dijadikan matlamat oleh seluruh masyarakat di seluruh dunia kerana ia merupakan sebuah hak asasi manusia," katanya.