Nasib Eriksen bersama Inter diketahui bulan depan

Eriksen
Eriksen
A
A
A

PEMAIN tengah Inter Milan, Christian Eriksen akan menjalani pemeriksaan kesihatan dan ujian kecergasan bulan depan yang akan menjadi penentu sama ada dia akan terus bermain bersama kelab gergasi Itali itu atau tidak.

Memetik laporan media Itali, La Gazzetta dello Sport, Eriksen ketika ini masih berada di Milan bersama keluarganya, namun akan pulang ke Odense, Denmark.

Dia akan menjalani latihan secara bersendirian di Denmark dan akan turut melakukan pemeriksaan kesihatan dengan pakar jantung yang menguruskannya sejak Jun lalu.

Eriksen sebelum ini menggemparkan komuniti bola sepak dunia pada Euro 2020, apabila rebah secara tiba-tiba pada minit ke-42 akibat 'cardiac arrest' semasa perlawanan peringkat kumpulan Denmark menentang Finland di Copenhagen pada 12 Jun lalu.

Bekas tonggak Tottenham Hotspur berusia 29 tahun itu kemudian diberikan rawatan kecemasan di tepi padang sebelum dikejarkan ke hospital bagi rawatan lanjut.

Eriksen dijadualkan menjalani pemeriksaan pada Oktober akan datang dengan pasukan perubatan Inter dan ia akan menyaksikan sama ada pemain itu boleh terus bermain bola sepak.

Namun, apa yang paling penting adalah mengenai alat Implantable Cardioverter Defibrillator (ICD) yang di pasang di jantungnya itu boleh ditanggalkan atau tidak kerana Itali melarang pemain untuk beraksi jika alat tersebut masih dipasang.

Eriksen menyertai Inter pada Januari 2020 dan Selama satu setengah musim dia tampil sebanyak 60 kali, mencetak lapan gol dan tiga bantuan gol.

Artikel Berkaitan:

Eriksen dikatakan akan kembali ke Ajax Amsterdam jika perlu meninggalkan Inter kerana peraturan di sana tidak menghalang pemain untuk beraksi sekiranya memasang ICD.