RM123 juta dana pembangunan MOSTI untuk syarikat pemula

Dr Adham menunjukkan buku '10-10 MyStie' pada sidang akhbar selepas adakan pertemuan dengan wakil Malaysia Venture Capital Managemenet Berhad di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Putrajaya pada Khamis. - Foto Bernama
Dr Adham menunjukkan buku '10-10 MyStie' pada sidang akhbar selepas adakan pertemuan dengan wakil Malaysia Venture Capital Managemenet Berhad di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Putrajaya pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Teknologi Sains dan Inovasi (MOSTI) memperuntukkan RM123 juta dana pembangunan bagi perkembangan perniagaan syarikat pemula tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, dana tersebut disalurkan menerusi beberapa syarikat pembiaya termasuk agensi kementerian, Malaysia Venture Capital Management Bhd (MAVCAP).

"Dana pembangunan ini akan diberikan menerusi tiga kaedah iaitu geran, ekuiti dan pinjaman," katanya pada sidang akhbar di kementeriannya pada Khamis.

Menurutnya, MOSTI menyasarkan untuk melahirkan lima syarikat unicorn dalam tempoh lima tahun.

"Sasaran ini dapat dicapai dengan penerapan elemen Rangka Kerja 10-10 Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi Malaysia (MySTIE) dalam sebarang pembangunan syarikat unicorn berkenaan," katanya.

Syarikat unicorn merujuk kepada pemula niaga yang memiliki penilaian keseluruhan melebihi AS$1 bilion.

Beliau berkata, MAVCAP iaitu agensi modal teroka di bawah MOSTI memainkan peranan penting dalam memperkasa usahawan pemula menjadi syarikat unicorn sekali gus memacu ekonomi negara.

"MAVCAP semestinya berupaya membantu syarikat-syarikat ini berkembang menjadi juara antarabangsa seterusnya memperluas teknologi di dalam negara dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengambil kira kejayaan Carsome Malaysia yang muncul sebagai syarikat unicorn pertama di negara ini bernilai lebih AS$1 bilion, Dr Adham berkata, ia membuktikan kemampuan bakat usahawan tempatan.

"Ia jelas menunjukkan terdapat prospek besar bagi syarikat pemula dan usahawan yang inovatif untuk memanfaatkan peluang pertumbuhan di persada antarabangsa," katanya.

Ujarnya, bagi mempercepatkan pertumbuhan sektor modal teroka, MAVCAP akan terus berusaha mendapatkan dana serta kerjasama dengan rakan kongsi tempatan serta asing.

"Ini membolehkan MAVCAP mencipta modal teroka untuk melabur dalam syarikat pemula yang berpotensi," katanya.