'Jangan ghairah nak melancong, tunggu SOP baharu diumumkan'

Hee Loy Sian
Hee Loy Sian
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor masih menunggu Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) yang baharu berikutan kebenaran merentas daerah bagi tujuan pelancongan yang dibenarkan bermula Jumaat.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Hee Loy Sian berkata, ini kerana kebenaran merentas daerah untuk melancong di negeri itu perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya.

Menurutnya, rakyat Selangor juga dinasihatkan agar tidak terlalu ghairah dengan pengumuman kerajaan sebaliknya mereka perlu terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan MOTAC sebelum ini.

"Kita perlu menghormati dan juga mengikut SOP sedia ada sementara kita menunggu kenyataan MOTAC (mengenai SOP baharu) yang dijangka dikeluarkan pada hari ini atau esok.

"Selepas itu Tourism Selangor juga akan mempergiatkan kempen di mana kita akan mempromosikan produk pelancongan (dalam negeri)," katanya pada Majlis Penyampaian Kewangan 'One Off' Secara Vitual di Facebook Tourism Selangor pada Khamis.

Majlis Penyampaian Kewangan 'One Off' Secara Vitual di Facebook Tourism Selangor pada Khamis.
Majlis Penyampaian Kewangan 'One Off' Secara Vitual di Facebook Tourism Selangor pada Khamis.

Pada majlis berkenaan, Loy Sian secara simboliknya turut menyerahkan cek bernilai RM15,000 seorang kepada 17 pengusaha pelancongan di Selangor melalui Pakej Kita Selangor 2.0.

Pada Rabu, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa Jumaat dengan beberapa kelonggaran, termasuk rentas daerah kepada mereka yang mendapat suntikan lengkap dua dos vaksin.

Artikel Berkaitan:

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataannya memaklumkan, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19.

Menurut beliau, kelonggaran yang diberikan itu sama dengan negeri-negeri yang telah berada dalam fasa dua sebelum ini seperti yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Dalam pada itu, Loy Sian yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang berkata, Tourism Selangor akan merancakkan lagi kempen 'Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu!' dalam masa terdekat ini.