Rina gagal dalam isu RUU Gangguan Seksual

Fuziah Salleh
Fuziah Salleh
A
A
A

KUANTAN - Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun disifatkan gagal menggunakan kedudukannya untuk menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat melalui Rang Undang–Undang (RUU) Gangguan Seksual di Parlimen.

Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fuziah Salleh berkata, kenyataan Rina di Sungai Pelek, Selangor meminta supaya mangsa terus membuat laporan tanpa perlu menunggu RUU Gangguan Seksual dibentangkan sudah cukup membuktikan beliau tidak layak menjadi anggota pentadbiran dalam badan eksekutif tertinggi negara.

"Rina gagal menggunakan kedudukannya (sebagai Menteri) untuk menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

"Beliau (Rina) juga gagal memahami kepentingan RUU Gangguan Seksual bagi mengukuhkan undang-undang sedia ada yang tidak mencukupi untuk menangani kes gangguan seksual," katanya melalui hantaran di laman sosial Facebook miliknya pada Khamis.

Rina ketika berucap pada penyampaian sumbangan dan Bakul Prihatin Negara pada Rabu menjelaskan mangsa gangguan seksual digesa supaya segera melaporkan insiden itu kepada pihak berkuasa tanpa perlu menunggu peruntukan RUU berkaitan jenayah gangguan seksual dikuatkuasakan.

Beliau dilaporkan berkata RUU tersebut bukan membabitkan pindaan, sebaliknya adalah RUU baharu yang mengambil masa untuk digubal dan melibatkan banyak kementerian serta drafnya kini sedang di peringkat penelitian Pejabat Peguam Negara.

Mengulas lanjut kenyataan itu, Fuziah yang juga ahli Parlimen Kuantan berkata, Rina seharusnya lebih memahami bahawa laporan polis merupakan prosedur biasa diamalkan orang awam.

Jelasnya, Rina sebelum ini pernah berjanji membentangkan RUU Gangguan Seksual di Parlimen, namun sehingga kini beliau tidak berbuat demikian.

Artikel Berkaitan:

Fuziah menambah, sekiranya Rina komited untuk membawa RUU itu ke Dewan Rakyat, beliau seharusnya mengumumkan pada ketika itu juga bila RUU Gangguan Seksual akan dibentangkan dan bukan sekadar meminta mangsa membuat laporan polis.

"Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini bertungkus-lumus membentangkan 'road map' RUU Gangguan Seksual, termasuk cadangan mewujudkan mekanisme perlindungan dan tribunal keadilan kepada mangsa, mendesak supaya Rina lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan yang seolah-olah tidak memihak kepada mangsa.

"Kerajaan juga digesa mengemukakan pelan bagi menangani keganasan berasaskan gender, termasuk memberikan tumpuan kepada kes gangguan seksual dalam tempoh pandemik Covid-19 dengan mengambil kira situasi semasa di mana kes gangguan seksual secara dalam talian juga dilaporkan meningkat dan memerlukan tindakan segera," katanya.