RM1.43 bilion atasi banjir, hakisan pantai

Tuan Ibrahim (dua dari kiri) melawat tapak projek RTB yang sedang dilaksanakan JPS di Kampung Parit Basri, Sri Medan, Baru Pahat pada Khamis.
Tuan Ibrahim (dua dari kiri) melawat tapak projek RTB yang sedang dilaksanakan JPS di Kampung Parit Basri, Sri Medan, Baru Pahat pada Khamis.
A
A
A

BATU PAHAT - Kerajaan memperuntukkan RM1.43 bilion menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi melaksanakan projek tebatan banjir, pemuliharaan sungai serta hakisan pantai di negeri ini.

Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, menerusi peruntukan itu 15 projek akan dilakukan melibatkan 13 projek sambungan dan dua projek baharu.

Beliau berkata, sebahagian projek sambungan berkenaan diteruskan daripada Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

"Daripada jumlah peruntukan itu, sebanyak RM81.3 juta diperuntukkan untuk projek tebatan banjir di daerah ini bertujuan mengurangkan risiko banjir termenung yang melanda sejak Ogos lalu.

"Bagi mengurangkan risiko banjir termenung, KASA melalui JPS sedang melaksanakan dua projek pembangunan iaitu menaik taraf Sistem Saliran Mesra (SMA) dan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Batu Pahat," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek RTB di Kampung Parit Basri, Sri Medan, di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, dua projek SMA sudah mula dilaksanakan iaitu di Sungai Suloh serta Peserai dan dijangka siap tahun depan.

"Ini melibatkan nilai keseluruhan sebanyak RM32.8juta bertujuan mengatasi banjir berpunca daripada masalah sistem saliran tidak sempurna, kejadian hujan lebat dan fenomena air pasang besar," katanya.

Menurutnya, projek RTB Sungai Batu Pahat yang melibatkan kos sehingga RM48.5 juta berperanan mengurangkan risiko banjir termenung setiap kali hujan lebat.

Artikel Berkaitan:

"Projek ini masih dalam tempoh pra-pelaksana bagi perkhidmatan perunding dan ia dijangka mengambil masa selama tiga tahun untuk siap sepenuhnya.

"Kedua-dua projek mega ini akan memberikan manfaat kepada 10,120 penduduk yang sering mengalami masalah banjir termenung selain mengelakkan kerugian kepada peladang kelapa sawit di kawasan berisiko," jelasnya.