Tidak perlu usul undi percaya tentukan keabsahan Perdana Menteri

Wan Saiful pada sidang akhbar di Pejabat Penerangan Bersatu di Petaling Jaya pada Khamis.
Wan Saiful pada sidang akhbar di Pejabat Penerangan Bersatu di Petaling Jaya pada Khamis.
A
A
A

PETALING JAYA - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berpandangan usul undi percaya bagi menentukan keabsahan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri tidak diperlukan dalam sidang Dewan Rakyat yang akan bermula minggu hadapan.

Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, ini kerana tidak wajar kuasa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diabsahkan oleh Dewan Rakyat.

“Yang di-Pertuan Agong ini adalah kuasa yang lebih tinggi. Saya rasa penghormatan perlu kita beri kepada keputusan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Penerangan Bersatu, di sini pada Khamis sempena sambutan ulang tahun kelima parti itu.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, usul undi percaya tidak diletakkan dalam agenda aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat yang bakal bersidang minggu hadapan.

Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, aturan urusan mesyuarat Parlimen diterimanya menetapkan antara usul terawal adalah berkenaan pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan cadangan daripada Menteri Dalam Negeri.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, keputusan Yang di-Pertuan Agong adalah keputusan mutlak yang tidak perlu dipersoalkan oleh mana-mana pihak.

“Kuasa ini sebenarnya kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong. Apabila Seri Paduka Baginda membuat keputusan bahawa sudah ada bilangan yang cukup dan diumumkan pula 114.

Artikel Berkaitan:

“Pengumuman yang dibuat Yang di-Pertuan Agong ini merupakan satu pengumuman yang jelas mengatakan Seri Paduka Baginda bukan sahaja merasakan tetapi mempunyai bukti bahawa ada majoriti yang jelas,” tegasnya.

Sementara itu, mengulas mengenai tindakan UMNO yang hanya mencalonkan Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai calon Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Wan Saiful berkata, akan ada pandangan rasmi daripada Perikatan Nasional (PN) mengenai perkara itu.

“Pandangan PN ini penting dan orang ramai tidak perasan bahawa parti terbesar dalam kerajaan hari ini adalah PN yang mempunyai kira-kira 50 kerusi dan blok kedua terbesar ialah Barisan Nasional (BN) dengan 41 kerusi.

“Pandangan mengenai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat ini saya rasa elok kita beri ruang kepada pemimpin dalam PN untuk berbincang mengenainya disebabkan mereka duduk dalam Parlimen itu,” jelasnya.