X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 25 Mei 2022

[VIDEO] Ahli perniagaan serang pengawal keselamatan didakwa membunuh

Ahmad Noor Azhar dibawa ke lokap Mahkamah Ipoh pada Khamis selepas pertuduhan terhadapnya selesai.
A
A

IPOH - Seorang penyewa sebuah kondominium yang menyerang pengawal keselamatan tahun lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Khamis atas pertuduhan membunuh.

Tertuduh, Ahmad Noor Azhar Muhammad, 33, sebelum ini didakwa pada 6 Januari lalu di bawah Seksyen 335 Kanun Keseksaan iaitu sengaja menyebabkan cedera parah atas bangkitan marah.

Bagaimanapun, pertuduhan terhadap ahli perniagaan itu ditukar berikutan mangsa, S Thava Sagayam, 64, yang sebelum ini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) telah meninggal dunia pada 27 Ogos lalu.

Kes tertuduh sepatutnya disebut semula pada Khamis namun mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menarik balik pertuduhan dan digantikan dengan Seksyen 302 Kanun Keseksaan ekoran kematian mangsa.

Bagi pertuduhan baharu itu, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Azreen Liyana Mohd Darus.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah membunuh Thava Sagayam di tingkat 7, Menara Majestic, Jalan CM Yusuff, di sini antara jam 8 pagi sehingga 9.30 pagi pada 29 Disember 2020.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Azlina Rasdi manakala tertuduh diwakili peguam Ariff Azami Hussein.

Pada masa sama, M Kula Segaran, A Sivanesan, N Selvam dan Omar Kutty bertindak sebagai peguam pemerhati bagi pihak keluarga mangsa.

Mahkamah kemudian menetapkan 18 Oktober ini sebagai sebutan semula kes.

Pada 27 Ogos lepas, mendiang Thava Sagayam meninggal dunia selepas lama terlantar sakit berikutan diserang seorang lelaki yang tidak berpuas hati kerana mendiang dikatakan cuba menghalang anak lelakinya daripada menggunakan kolam renang di sebuah kondominium yang tidak dibuka kepada orang ramai pada 29 Disember tahun lepas.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!