Sila log masuk terlebih dahulu.

Air Boreng sumber alternatif baharu penduduk Kuala Nerus

Mohd Nafi Sulong, 38, (kiri) dan adiknya Abdul Rajab, 31, melakukan kerja-kerja menggerudi telaga tiub atau lebih dikenali air boreng ketika ditemui di Kampung Telari, baru-baru. - Foto Bernama
Mohd Nafi Sulong, 38, (kiri) dan adiknya Abdul Rajab, 31, melakukan kerja-kerja menggerudi telaga tiub atau lebih dikenali air boreng ketika ditemui di Kampung Telari, baru-baru. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA NERUS - Krisis gangguan bekalan air di daerah Kuala Nerus dan sebahagian Kuala Terengganu sejak 2 Ogos lepas menyebabkan penduduk mencari alternatif sumber air bersih baharu antaranya telaga tiub bagi melancarkan urusan harian mereka.

Situasi ini menyebabkan penggerudi telaga tiub atau lebih dikenali sebagai air boreng oleh penduduk tempatan, tidak menang tangan melayan permintaan orang ramai.

Pengurus Airlaju Home Solution, Mohammad Rizal Busari berkata, secara purata, syarikatnya mampu membuat dua projek air boreng setiap hari dengan bantuan lapan pekerja.

"Bagi meringankan beban kewangan pelanggan, saya turut menawarkan bayaran ansuran secara bulanan tanpa faedah iaitu RM1,500 untuk tiga bulan, maklumlah semua orang pun susah pasca pandemik Covid-19 ini.

"Ramai pelanggan yang mengambil pakej ansuran ini kerana tidak perlu mengeluarkan wang dalam jumlah yang banyak sekali gus. Bagi kami pula, bukan keuntungan banyak yang dicari, sebaliknya rasa mahu menolong orang dalam kesusahan, sebab itu tawarkan bayaran secara ansuran," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Mohammad Rizal Busari (kanan) dan Mohd Hafizi melakukan kerja-kerja menanam paip selepas menggerudi telaga tiub atau lebih dikenali air boreng ketika ditemui di Masjid Nur Bakti, Wakaf Tembesu, baru-baru ini. - Foto Bernama
Mohammad Rizal Busari (kanan) dan Mohd Hafizi melakukan kerja-kerja menanam paip selepas menggerudi telaga tiub atau lebih dikenali air boreng ketika ditemui di Masjid Nur Bakti, Wakaf Tembesu, baru-baru ini. - Foto Bernama

Krisis gangguan bekalan air di dua daerah itu berlaku pertama kali pada 2 Ogos lepas berpunca daripada pam bersaiz 1,200 milimeter pecah di dasar Sungai Terengganu melibatkan 28,700 akaun pengguna iaitu hampir 150,000 penduduk.

Bekalan air bersih kembali pulih secara berperingkat pada 13 Ogos, namun tidak kekal lama apabila paip yang telah dibaiki patah semula dan proses baik pulih kali ini mengambil masa 20 hari dengan jangkaan siap pada 12 September depan.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi penggerudi, Mohd Nafi Sulong, 38, berkat, permintaan sangat tinggi ketika ini sehingga beliau terpaksa meninggalkan sementara kerja hakikinya iaitu menjual air soya di gerai tepi jalan untuk memenuhi permintaan pelanggan.

“Sebelum ini, saya buat air boreng secara sampingan sahaja kerana tak ada orang pun yang berminat dengan sumber air bawah tanah...kalau ada pun cuma pemilik kebun atau dusun yang mahukan sistem pengairan bersistematik. Namun kali ini permintaan memang luar biasa, setiap hari ada orang minta khidmat air boreng kerana ia lebih mudah, air pun lebih bersih dan banyak mineral yang bagus untuk kesihatan," katanya.

Bagi Roslan Mohd Nor, 43, beliau akan memastikan pelanggannya mendapat air bersih meskipun terpaksa menggerudi di beberapa lokasi kerana tidak semua tempat mempunyai sumber air bawah tanah yang sesuai.

"Setakat ini, saya sudah buat di lebih 20 lokasi sejak krisis gangguan bekalan air bermula dan hanya mengambil upah RM600 sahaja manakala kos pembelian peralatan ditanggung pelanggan kerana ia tidak sama bergantung pada lokasi rumah dan spesifikasi pam atau enjin mengikut kehendak masing-masing," katanya yang dibantu tiga pekerja.

Sementara itu, Pensyarah Kanan bidang Oseanografi Kimia di Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Dr Adiana Ghazali berkata, pemilihan air boreng sebagai alternatif sumber air minuman dan masakan perlu merujuk piawaian yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) berdasarkan garis panduan kualiti air minuman bagi menjaga kesihatan pengguna.

Beliau berkata, pengguna juga boleh merujuk kepada piawaian yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar Malaysia iaitu garis panduan kualiti air tanah bagi rawatan air mentah secara konvensional (air minuman).

Pembantu kebersihan Masjid Nur Bakti, Mat Zahir Ahmad, 58, menunjukkan air bersih dari telaga tiub atau lebih dikenali air boreng ketika ditemui di Wakaf Tembesu, baru-baru ini. - Foto Bernama
Pembantu kebersihan Masjid Nur Bakti, Mat Zahir Ahmad, 58, menunjukkan air bersih dari telaga tiub atau lebih dikenali air boreng ketika ditemui di Wakaf Tembesu, baru-baru ini. - Foto Bernama

"Penggunaan air boreng untuk kegunaan harian bagi sesuatu kawasan seharusnya dirawat dengan menggunakan kaedah rawatan yang bersesuaian mengikut persekitaran kawasan sesuatu telaga boreng itu digali.

"Ini kerana kualiti air telaga boreng dipengaruhi oleh jenis-jenis tanah dan keadaan sesuatu persekitaran. Misalnya, jika sumber air boreng tersebut berada berdekatan dengan kawasan pertanian, mungkin sisa baja dan racun perosak akan meresap masuk ke dalam sistem takungan air bawah tanah berkenaan.

“Sekiranya telaga boreng terletak berhampiran tangki kumbahan perumahan pula terdapat kemungkinan air kumbahan akan memasuki telaga boreng dan menjejaskan kualiti air," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan pengguna untuk melakukan sedikit analisis mudah bagi mengetahui tahap kualiti air dan merawat air tersebut dengan menggunakan penapis air yang bersesuaian sebelum digunakan sebagai sumber air minuman dan masakan dengan membeli kit analisa di pasaran. -Bernama