Peniaga restoran dan makanan tersepit

Pengusaha restoran dan peniaga makanan di Lembah Klang mengaku terjejas dan tersepit dengan kenaikan harga ayam secara mendadak ketika ini.
Pengusaha restoran dan peniaga makanan di Lembah Klang mengaku terjejas dan tersepit dengan kenaikan harga ayam secara mendadak ketika ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengusaha restoran dan peniaga makanan di Lembah Klang mengaku terjejas dan tersepit dengan kenaikan harga ayam secara mendadak ketika ini.

Harga ayam di Lembah Klang yang melonjak kepada RM8.50 hingga RM9 sekilogram sejak minggu ini berbanding sekitar RM6.50 hingga RM7.50 sebelum ini benar-benar membebankan mereka.

Pemilik Restoran Ali Maju Sdn Bhd, Datuk Jawahar Ali Taib Khan yang mempunyai 15 rangkaian restoran itu di Lembah Klang berkata, kenaikan harga ayam itu menyebabkan keuntungan yang diperoleh berkurang.

“Situasi ini membuatkan kami terjejas kerana harga makanan masih lagi dijual pada harga sama.

“Kami tak naikkan harga sebab tak mahu bebankan pelanggan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.Beliau yang juga Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) berkata, malah pertubuhan itu turut menasihatkan ahli-ahli mereka agar tidak menaikkan harga makanan dan cuba menyerap kos kenaikan harga ayam itu.

Katanya, selain masalah kenaikan harga ayam, rata-rata peniaga termasuk beliau sendiri juga tertekan kerana berdepan dengan masalah lain termasuk terpaksa membayar sewa kedai seperti biasa dan kekurangan tenaga pekerja.

“Jadi, kita harap kenaikan harga ayam ini tidak berpanjangan. Mungkin kerajaan juga boleh ambil tindakan segera untuk memastikan tidak berlaku kenaikan mendadak harga ayam dan barang-barang lain sepanjang tempoh pandemik Covid-19,” katanya

Sementara itu, Pengurus Katering Sajian D’Hidang yang beroperasi di Shah Alam, Ruhani Hamim berkata, pihaknya mengambil bekalan ayam daripada pembekal pada harga RM8.50 sekilogram sejak minggu ini.

Artikel Berkaitan:

“Sebelum ini RM7 lebih sahaja sekilogram. Apa yang lebih merisaukan harga ayam mungkin akan naik lagi dalam masa terdekat.

“Sekarang kami masih jual makanan pada harga sama misalnya nasi mandy ayam RM15 serta nasi ambeng RM12 sebab tak mahu pelanggan merungut dan lari,” katanya.

Selain ayam, harga telur ayam juga naik ketika ini sekali gus memberi lebih tekanan kepada peniaga.

“Kami sekarang serba salah, kalau naikkan harga nanti pelanggan pula ‘menjerit’ atau marahkan kami.

“Sebab itu kami bertahan jual makanan pada harga sama walaupun purata tempahan harian sekarang cuma sekitar 50 ke 150 bungkus sehari berbanding dahulu sekitar 2,000 bungkus,” katanya.

Dalam pada itu, penjual makanan secara dalam talian, Zambri Shah Bahri memberitahu, dia masih mengekalkan harga nasi ayam yang dijualnya pada harga RM6 sebungkus meskipun harga runcit ayam yang dibeli di pasar hampir mencecah RM9 sekilogram.

“Cuba bayangkan dengan harga semahal itu macam mana kami nak ada untung sebab kami tak akan naikkan harga makanan sewenang-wenang.

“Jadi, kami terpaksa berkorban dengan kekalkan harga. Cuma bezanya, dengan harga yang agak mahal, saiz potongan ayam terpaksa dikecilkan.

“Misalnya kalau dulu, seekor ayam dipotong enam, sekarang terpaksa dipotong 10 bahagian,” katanya.

Zambri yang juga Ahli Persatuan Peniaga Pasar Petaling Jaya berkata, sejak kebelakangan ini juga daging segar turut mengalami kenaikan harga.

“Kalau dulu harganya cuma RM30 lebih sekilogram tapi sekarang dah RM40 hingga RM45 sekilogram malahan harga sesetengah ikan segar turut naik,” katanya.

Sehubungan itu, Zambri meluahkan kekhuatiran sekiranya kenaikan harga beberapa bahan mentah itu disebabkan cubaan sesetengah pihak untuk mengambil kesempatan kerana seperti diketahui kerajaan ketika ini sedang menyalurkan Bantuan Khas Covid-19 kepada rakyat.