Golongan antivaksin elok terus duduk rumah sehingga Covid-19 reda

Dengan kelonggaran diberikan, rakyat diharap terus mematuhi SOP ditetapkan oleh kerajaan bagi mengekang penularan Covid-19.
Dengan kelonggaran diberikan, rakyat diharap terus mematuhi SOP ditetapkan oleh kerajaan bagi mengekang penularan Covid-19.
A
A
A

RAMAI gembira selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membenarkan peralihan ke Fasa Dua, bagi kawasan Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya berkuat kuasa esok.

Yang paling gembira sudah tentu mereka yang sudah lengkap dua dos vaksin sementara yang belum dapat atau cukup tempoh perlu bersabar seketika.

Tetapi yang akan gembira juga golongan antivaksin sebab mereka juga akan dapat kelebihan yang sama. Ini kerana tiada siapa yang akan memeriksa pergerakan mereka.

Persoalannya, adilkah golongan antivaksin ini dibiarkan mendapat keistimewaan sedangkan mereka bukan sahaja merisikokan diri sendiri tetapi orang lain.

Kita amat berharap agar golongan antivaksin ini agar ada rasa tanggungjawab. Kita hormati pilihan masing-masing tetapi mereka juga harus hormati hak mereka yang ambil vaksin demi untuk melindungi diri dan orang lain.

Sebaiknya golongan antivaksin ini terus sahaja tinggal di rumah dan jangan pergi ke mana-mana sehingga keadaan sudah mulai pulih.

Mengenai pengumuman semalam, kerajaan turut membenarkan penerima dua dos vaksin boleh rentas daerah; pasangan suami isteri jarak jauh dibenarkan untuk merentas negeri, ibu bapa dibenarkan merentas negeri untuk berjumpa anak mereka yang berusia di bawah 18 tahun.

Selain itu, 'dine-in' dibenarkan di premis makanan dan penginapan di hotel dan homestay bagi individu yang lengkap dua dos vaksin.

Artikel Berkaitan:

Turut dilaporkan berita baik untuk mereka yang gemar bersenam apabila beberapa aktiviti sukan sudah dibenarkan dengan mengikuti beberapa syarat yang ketat.

Nampaknya pemain-pemain industri sukan yang selama ini menanggung kerugian kerana terpaksa menutup periuk rezeki masing-masing akibat tidak dapat beroperasi sudah boleh menarik nafas lega.

Pada Rabu, kerajaan mengumumkan berita baik kepada semua rakyat Malaysia termasuk pemain industri sukan apabila memutuskan aktiviti sukan, riadah dan rekreasi untuk negeri yang berada di bawah Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilonggarkan.

Ismail Sabri berkata, antara ketetapan yang diputuskan jawatankuasa ialah membenarkan aktiviti sukan 'indoor' (kawasan tertutup), kecuali gimnasium, kepada individu yang lengkap dos vaksin berkuatkuasa Jumaat ini.

Sebelum itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menggesa kerajaan mempertimbangkan pembukaan gimnasium dan sukan padang dengan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat memandangkan pawagam dapat dibuka.

Bagaimanapun dengan kelonggaran diberikan, rakyat diharap terus mematuhi SOP ditetapkan oleh kerajaan bagi mengekang penularan Covid-19.