JPJ perlu tegas tangani pemandu di bawah pengaruh dadah

Meskipun negara mempunyai peruntukan undang-undang khusus dan lengkap untuk membanteras isu pemandu yang berada di bawah pengaruh dadah atau alkohol, namun penguatkuasaannya dilihat agak lemah. Foto 123rf.
Meskipun negara mempunyai peruntukan undang-undang khusus dan lengkap untuk membanteras isu pemandu yang berada di bawah pengaruh dadah atau alkohol, namun penguatkuasaannya dilihat agak lemah. Foto 123rf.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) perlu lebih tegas dalam menguatkuasakan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara) selain melakukan pemeriksaan mengejut dengan lebih kerap bagi membendung masalah pemandu lori yang memandu bawah pengaruh dadah.

Penganalisis Jenayah, Datuk Seri Akhbar Satar berkata, meskipun negara mempunyai peruntukan undang-undang khusus dan lengkap untuk membanteras isu pemandu yang berada di bawah pengaruh dadah atau alkohol, namun penguatkuasaannya dilihat agak lemah.

Beliau berkata, sistem Kejara yang membolehkan lesen memandu seseorang itu digantung dan dibatalkan selepas mengutip mata demerit selepas melakukan kesalahan jalan raya dilihat mampu mencegah perkara ini terutamanya, individu yang bekerja sebagai pemandu.

Akhbar Satar
Akhbar Satar

"Di samping itu, penguat kuasa juga perlu kerap meronda dan melakukan pemeriksaan terhadap pemandu dan kenderaan komersial seperti lori dan bas bagi memastikan mereka mematuhi undang-undang selain boleh mengkaji penggunaan kit ujian pantas dadah dan alkohol seperti yang digunakan di negara-negara luar," katanya kepada Bernama pada Rabu.

Beliau mengulas mengenai insiden seorang pemandu lori yang didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamin selepas kenderaan yang dipandunya merempuh lima kenderaan lain dalam kemalangan di Jalan Ipoh di sini pada Isnin lepas.

Akhbar berkata, pihak majikan juga perlu bertegas dan tidak lepas tangan dalam menangani isu berkenaan.

Justeru, katanya, majikan perlu memastikan pemandu syarikat mereka bebas daripada sebarang pengaruh dadah atau alkohol sebelum dibenarkan bekerja atau mengendalikan jentera berat kerana ia bukan hanya merbahaya diri malah mengancam nyawa orang lain.

Artikel Berkaitan:

"Pemantauan dan pemeriksaan berkala oleh majikan boleh memberi tanda amaran jika pekerja mereka terlibat dengan penyalahgunaan dadah," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, adalah menjadi tanggungjawab majikan untuk memastikan pemandu mereka bebas daripada sebarang pengaruh dadah sebelum dibenarkan memandu.

Lam Thye berkata, majikan harus bersikap tegas terhadap pekerja mereka yang didapati menyalahgunakan dadah kerana mereka kerap memberi alasan letih dan perlu membuat perjalanan yang banyak untuk mendapat bayaran yang lumayan.

Oleh yang demikian, Lam Thye berharap majikan dapat melihat kembali skim gaji golongan pemandu agar mereka menerima upah yang setimpal dan tidak bergantung kepada kekerapan perjalanan untuk mendapatkan gaji yang tinggi.

"Pekerja juga perlu berani menyuarakan dan menolak untuk melakukan perjalanan yang lebih sekiranya mereka letih agar mereka tidak membahayakan pengguna jalan raya yang lain," katanya.

Dalam kejadian pada jam 2.40 petang itu, lori yang dipandu oleh seorang suspek berusia 25 tahun itu, sedang dalam perjalanan ke Sentul dari Jalan Duta sebelum merempuh dua Perodua Myvi, Proton X70, Honda HRV dan Peugeot 208 FL. - Bernama