X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 18 Mei 2022

KDA FC cemas di Darul Aman

Baddrol menjaringkan satu gol ketika membantu KDA FC bangkit mengikat UiTM FC 3-3 di Stadium Darul Aman pada Rabu. FOTO KEDAH DARUL AMAN FC
A
A

KEDAH Darul Aman (KDA) FC berjaya bangkit mengikat UiTM FC 3-3 pada aksi Liga Super selepas diberikan saingan sengit pada Rabu bagi membantu mereka kembali naik ke tangga kedua liga.

Tuan rumah yang turun dengan motivasi tinggi memburu kemenangan diberikan tentangan sengit oleh pasukan lawan sebaik wisel perlawanan dibunyikan.

Beraksi di atas padang basah, hijau kuning melakukan asakan dari kiri dan kanan menggunakan Azammuddin Akil dan Syazwan Zainon namun pelawat kekal bertahan menangkis serangan.

Namun tandukan ketua pasukan KDA FC, Baddrol Bakhtiar akhirnya memecahkan kebuntuan dengan meletakkan tuan rumah terlebih dahulu di hadapan 1-0 pada minit ke-36 selepas memanfaatkan hantaran Azammudin.

Bagaimanapun, selang dua minit kemudian, The Lions dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil perlawanan, Ku Alauddin Ku Muhammad selepas penyerangnya, Sean Gan dijatuhkan oleh pertahanan tuan rumah, Renan Alves.

Pelawat berjaya mengikat kedudukan 1-1 hasil sepakan penalti yang disempurnakan oleh Dennis Buschening sebelum babak separuh masa pertama tamat.

Separuh masa kedua bermula, pengendali KDA FC, Aidil Sharin Sahak membawa masuk enjin baharu, Fayadh menggantikan Asnan untuk memberikan nafas baharu kepada jentera serangan Hijau Kuning.

Namun, pelawat berjaya berada di hadapan 2-1 pada minit ke-46 hasil jaringan mudah Yonghyun Kwon selepas memanfaatkan salah faham barisan pertahanan tuan rumah yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan merbahaya mereka.

KDA FC yang terdesak memburu gol penyamaan kemudiannya membawa masuk Faizat Ghazli dan Fazrul Danel Mohd Nizam menggantikan Azammuddin dan Amirul Hisham Awang Kechik pada minit ke-60.

Pelawat menambah derita KDA FC apabila Ariff Ar-Rashid Ariffin menjarakkan kedudukan kepada 3-1 pada minit ke-63 yang menguis bola masuk hasil hantaran sepakan sudut.

Syazwan Zainon dan Ariff Farhan Md Isa kemudian dibawa keluar dan digantikan dengan Fikri Zulkiflee dan Fandi Othman untuk memperkuatkan pasukan pada minit ke-72.

KDA FC kemudian merapatkan kedudukan 3-2 menerusi sentuhan pertama Fikri yang menanduk gol hasil hantaran lintang Fandi pada minit ke-73.

UiTM FC yang dikendalikan oleh Mohd Reduan Abdullah terus menerima tekanan apabila Tchtche Kipre membantu KDA FC menyamakan kedudukan 3-3 yang memanfaatkan hantaran Rizal Ghazali pada minit ke-79.

Tuan rumah terus mengasak kubu pelawat pada 10 minit terakhir perlawanan namun keputusan 3-3 kekal hingga ke wisel penamat.

KDA FC kini berkongsi 40 mata sama dengan Penang FC di tangga ketiga selepas 21 perlawanan yang kini hanya dibezakan dengan perbezaan gol.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!