Beng Hee dilantik ketua jurulatih skuasy AS

Beng Hee
Beng Hee
A
A
A

BEKAS pemain nombor satu negara Ong Beng Hee dilantik sebagai ketua jurulatih kebangsaan Skuasy Amerika Syarikat (US Squash) menggantikan Paul Assaiante.

Memulakan tugas baharu itu minggu lepas, Beng Hee, pemenang emas Sukan Asia dua kali itu akan menerajui pasukan Amerika Syarikat memburu kecemerlangan daripada peringkat pembangunan junior hingga program berprestasi tinggi di Pusat US Squash Arlen Specter di Philadelphia.

Sebelum ini, jurulatih berusia 41 tahun itu mengetuai program kebangsaan Qatar, selaku pengarah teknikal, selama empat tahun selepas bersara daripada siri Jelajah Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA) pada 2015.

“Ini adalah pencapaian terbesar saya sebagai jurulatih untuk menerajui program yang disokong dengan kemudahan menakjubkan di Pusat Arlen Specter. Ini adalah impian menjadi kenyataan kepada mana-mana jurulatih. Saya berterima kasih kepada keluarga Ganek, US Squash dan Assaiante.

“Saya mengenali Assaiante sekian lama dan tidak sabar untuk terus bekerjasama dengan beliau bagi membantu membina program yang lebih cemerlang,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan dalam laman web US Squash.

US Squash juga mengumumkan Assaiante akan terus berkhidmat dengan peranan baharu sebagai ‘emeritus’ selepas 13 tahun menjadi ketua jurulatih kebangsaan.

Dalam karier pemain profesional selama 17 tahun, Beng Hee telah menjuarai 15 gelaran PSA serta menghuni ranking 10 pemain terbaik dunia selama 31 bulan.

Menurut kenyataan US Squash itu, Beng Hee akan membimbing empat pemain wanita terbaik negara itu yang berpangkalan di Philadelphia - Amanda Sobhy, Olivia Blatchford Clyne, Sabrina Sobhy dan Olivia Fiechter yang kesemua mereka menghuni ranking dalam kelompok 25 pemain terbaik dunia.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pemain nombor enam dunia, Amanda menyifatkan kehadiran Beng Hee memberi rangsangan dan keyakinan kepada pemain.

“Saya teruja untuk belajar daripada Beng Hee, seorang yang arif dengan minda dan latihan yang diperlukan di peringkat tertinggi dan tidak sabar untuk mendapatkan ilmu beliau untuk mengembangkan corak permainan saya.

“Saya harap kehadiran beliau akan menggalakkan lebih ramai pemain mahu menempatkan diri di pusat berkenaan untuk berlatih bersama kami semua,” katanya. - Bernama