X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 07 Disember 2021

Nafuzi wajar dikekalkan kemudi Terengganu FC musim depan

Nafuzi
A
A

JURULATIH berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim berpendapat Nafuzi Zain perlu dikekalkan untuk terus mengemudi pasukan Terengganu FC (TFC) musim depan.

Menurut Irfan Bakti yang juga ketua jurulatih Kuching City FC, Nafuzi telah menjalankan tugas sebagai ketua jurulatih skuad Penyu dengan baik sehingga meletakkan pasukan itu di kelompok teratas Liga Super.

Justeru, beliau berpandangan di sebalik kritikan bertalu-talu yang dilemparkan terhadap jurulatih muda itu, Nafuzi wajar diberi peluang untuk membuktikan bahawa beliau mampu membawa TFC ke peringkat lebih tinggi pada masa depan.

"Saya kenal Nafuzi kerana dia pernah menjadi pembantu saya dan kami sentiasa berhubung. Saya selalu menasihatkan dia supaya bersabar dan kurangkan gangguan luar padang yang boleh menjejaskan perancangan pasukan.

"Bola sepak ada turun naiknya. Lagipun TFC bukan di zon penyingkiran, sebaliknya masih di kelompok atas bagi perebutan tangga kedua liga," katanya ketika dihubungi pemberita pada Rabu.

Tambah Irfan lagi, sebagai bekas pengendali TFC, beliau sentiasa mengikuti rapat pasukan tersebut dan bangga dengan pencapaian Nafuzi yang disifatkan memiliki bakat serta potensi besar dalam dunia kejurulatihan.

Nafuzi sebelum ini telah diarahkan supaya mengemukakan surat tunjuk sebab kepada pihak pengurusan TFC setelah pasukannya tewas tiga kali berturut-turut kepada Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Kuala Lumpur City FC (KL City FC) dan Johor Darul Takzim.

Kekalahan TFC pada aksi-aksi penting di hujung musim menyebabkan ia jatuh daripada tangga kedua ke tangga keempat liga sekali gus mengundang pelbagai kritikan dan kecaman daripada peminat bola sepak Terengganu yang tidak berpuas hati dengan penurunan prestasi mendadak pasukan tersebut.

TFC akan menamatkan saingan Liga Super pada aksi penting bertemu Penang FC di tempat lawan pada 14 September ini. Perlawanan itu juga merupakan misi penentu bagi memburu slot automatik ke Piala AFC 2022. -- Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!