Selangor wartakan semula HSKLU

Gambar kecil: Amirudin
Gambar kecil: Amirudin
A
A
A

SHAH ALAM - Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor yang bersidang pada petang Rabu memutuskan untuk mewartakan semula kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU).

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri juga memutuskan untuk menghentikan cadangan pelan pembangunan ke atas kawasan tersebut serta membatalkan pemberimilikan tanah berkenaan kepada syarikat berkaitan.

Beliau berkata, sebahagian tanah HSKLU seluas 42.087 hektar daripada keluasan keseluruhan berjumlah 536.6 hektar akan turut diwartakan bagi melengkapkan pemberimilikan tanah kepada Kampung Orang Asli Busut Baru yang tertangguh susulan pemindahan mereka sebelum ini berikutan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Sehubungan itu, kerajaan Selangor akan memulakan proses mewartakan semula HSKLU selepas ini," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menerusi kenyataan sama, Amirudin berkata, kerajaan negeri juga akan mempertimbangkan sebahagian kecil lagi kawasan HSKLU dinyahwartakan bagi jajaran East Coast Rail Link (ECRL).

Katanya, kawasan gantian yang diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal (HSK) seluas 581.129 hektar di Sungai Panjang, Ampang Pechah dan Bukit Broga akan turut dikekalkan statusnya.

"Kerajaan Selangor menegaskan bahawa segala proses penyahwartaan HSKLU sebelum ini telah mengikuti segala prosedur dan tatacara yang dinyatakan mengikut lunas undang-undang," katanya.

Tambah beliau, sebagai sebuah kerajaan yang berteras prinsip akauntabiliti, kerajaan Selangor akan menulis surat kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mengadakan sidang Jawatankuasa Pilihan Khas Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) untuk menjawab isu-isu yang dibangkitkan dengan penyahwartaan sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Pada Isnin, Exco Alam Sekitar dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Hee Loy Sian memaklumkan bahawa MMKN Selangor bersetuju menyahwartakan HSKLU bagi tujuan pembangunan.

Pemakluman menerusi sidang DUN itu menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar yang membantah keputusan tersebut.