NRF tolak pemerintahan Taliban

Anggota NRF mendakwa masih menguasai kedudukan strategik di Lembah Panjshir. - Foto: AFP
Anggota NRF mendakwa masih menguasai kedudukan strategik di Lembah Panjshir. - Foto: AFP
A
A
A

KABUL - Barisan Penentangan Nasional (NRF) menggesa komuniti antarabangsa agar tidak mengiktiraf kerajaan sementara yang diumumkan Taliban pada Selasa.

Gerakan anti-Taliban itu menegaskan pengumuman pemerintahan baharu itu adalah sebagai isyarat jelas permusuhan Taliban dengan rakyat Afghanistan.

Gesaan itu dibuat selepas Ahmad Wali Massoud yang merupakan bapa saudara kepada pemimpin kumpulan penentang itu memberi amaran tegas bahawa NRF akan kembali ke Lembah Panjshir pada bila-bila masa.

“Kami masih mempunyai ribuan anggota di lembah tersebut. Benar kami ‘cedera’ dalam pertempuran itu, namun kami belum ‘mati’. Kami masih hidup untuk teruskan perjuangan menentang Taliban,” katanya di simposium di Geneva.

Menurutnya, Panjshir bukan hanya simbol penentangan semata-mata.

“Perjuangan NRF adalah untuk menuntut hak kami, kebebasan, demokrasi dan hak asasi manusia. Berkemungkinan ia adalah peluang terakhir untuk kami memerangi keganasan di Afghanistan.

“Gerakan penentangan ini tidak boleh berakhir begitu saja,” tegasnya.

Difahamkan, beliau adalah adik kepada ikon gerakan penentangan, komander gerila dan anti-Taliban terkenal, Ahmad Shah Massoud yang terkorban dalam insiden pengeboman bunuh diri dilancarkan al-Qaeda, beberapa hari sebelum serangan di Amerika Syarikat (AS) pada 11 September 2001.

Artikel Berkaitan:

Kenyataan itu dikeluarkan sehari selepas anak saudaranya, Ahmad Massoud menggesa gerakan kebangkitan untuk meneruskan perjuangan mereka selepas NRF didakwa berdepan kekalahan besar setelah kubu kuat kumpulan itu kini jatuh ke tangan Taliban.

NRF bagaimanapun mendakwa anggota mereka masih menguasai kedudukan strategik di Panjshir.

Ketika ini, beberapa veteran melihat ‘kelemahan’ Ahmad Massoud mungkin menjadi punca kekalahan NRF.

“Ahmad Massoud masih muda walaupun berjiwa patriotik. Beliau tiada pengalaman ketenteraan seperti bapanya. Jika, bapanya masih hidup, sudah pasti kita tidak akan melihat kejatuhan Panjshir ke dalam genggaman Taliban,” kata Mohammad Sana Safa, 63, yang pernah berkhidmat dengan ikon gerakan penentangan itu pada 1980-an. - AFP