X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 03 Julai 2022

Lembaga Rayuan JAS batalkan kelulusan EIA projek PSR

Projek PSR
A
A

GEORGETOWN - Lembaga Rayuan Jabatan Alam Sekitar (JAS) membuat keputusan mengetepikan kelulusan penilaian impak alam sekitar (EIA) untuk projek tambak laut bagi membentuk tiga buah pulau buatan di Perairan Selatan (PSR) Pulau Pinang.

Keputusan itu menjadikan kelulusan EIA bagi projek berkenaan adalah terbatal dan tidak lagi sah selepas ia diperoleh pada 25 Jun 2019.

Keputusan itu dibuat oleh tiga anggota Lembaga Rayuan JAS iaitu Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayub; pakar alam sekitar dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Mazlin Mokhtar dan Profesor Madya Dr Ramdzani Abdullah dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Peguam, Meenakshi Raman berkata, notis rayuan berkenaan difailkan kepada Lembaga Rayuan oleh Ketua Unit Nelayan Sungai Batu, Zakaria Ismail pada 29 Julai 2019 mengikut Seksyen 35 (1) (e) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (EQA 1974).

Beliau yang mewakili Zakaria sebagai perayu menjelaskan, pembatalan EIA itu bermaksud Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) bagi projek berkenaan yang sedang ditunggu kelulusannya juga sudah tidak boleh diguna pakai.

"Jika kerajaan negeri dan pemaju mahu meneruskan projek berkenaan, permohonan EIA baharu perlu dikemukakan semula kepada JAS.

"Bagi mendapatkan EMP, ia turut berkait rapat dengan kelulusan EIA yang diperoleh lebih awal. Justeru semua proses perlu dilakukan semula oleh pihak berkenaan (kerajaan negeri dan pemaju)," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pelaksanaan projek PSR seluas hampir 17 kilometer persegi membabitkan projek pembangunan tiga pulau buatan berkeluasan 1,700 hektar di perairan Permatang Damar Laut, berdekatan Bayan Lepas.

Projek itu dibina bagi membiayai pelbagai projek infrastruktur dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP) bernilai kira-kira RM46 bilion.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!