KPM tambah baik PdP sedia ada

MOHD RADZI
MOHD RADZI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan (KPM) akan meneliti dan memperhalusi cadangan pelajar untuk menambah baik pendekatan pengajaran dan pembelajaran (PdP) sedia ada serta bagi mengikutinya secara bersemuka dengan selamat.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, cadangan itu dikemukakan oleh 100 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di seluruh negara dalam sesi libat urus bersama KPM secara dalam talian pada Rabu.

Libat urus itu terbahagi kepada dua sesi membabitkan wakil murid sekolah menengah kebangsaan (SMK) dan murid berkeperluan khas (MBK).

Beliau berkata, pelajar yang terlibat dalam perbincangan itu teruja semasa berkongsi pengalaman dan cabaran dihadapi mereka dalam tempoh mencabar ini termasuk persiapan mereka untuk menghadapi peperiksaan SPM yang dijadual pada Mac tahun hadapan.

“Tak kurang juga yang memberikan pelbagai pandangan dan cadangan bagaimana untuk menambah baik pendekatan pengajaran dan pembelajaran sedia ada.

“Saya juga begitu tersentuh dengan perkongsian anak-anak MBK yang tidak pernah jemu untuk mengikuti pembelajaran walaupun terpaksa menempuh pelbagai cabaran.

“Mereka amat berharap agar dapat kembali ke sekolah dan mengikuti pembelajaran secara bersemuka dengan selamat,” katanya dalam kenyataan di Facebook rasmi beliau pada Rabu.

Sehubungan itu, Radzi berkata, KPM sentiasa komited untuk melakukan yang terbaik serta menghargai semua perkongsian dan cadangan diberikan.

Artikel Berkaitan:

“Semoga semua anak-anak yang bakal menduduki SPM tahun 2021 terus bersemangat untuk membuat persediaan sebaiknya,” katanya. - Bernama