Rentas daerah dibenarkan di KL, Putrajaya dan Selangor

Rentas daerah dibenarkan di KL, Putrajaya dan Selangor bermula Jumaat ini.
Rentas daerah dibenarkan di KL, Putrajaya dan Selangor bermula Jumaat ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Lembah Klang yang terdiri daripada Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih kepada Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula Jumaat ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 yang bermesyuarat turut memutuskan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya digabungkan sebagai satu kawasan jangkitan yang sama.

"Maka, pergerakan antara negeri-negeri ini adalah dibenarkan dan tiada lagi sekatan jalan raya," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, antara kelonggaran yang diberikan ialah individu yang telah lengkap menerima suntikan dos vaksin dibenarkan merentas daerah selain suami isteri jarak jauh turut dibenarkan merentas negeri.

"Ibu bapa yang telah mendapat dua dos vaksin dibenarkan merentas negeri untuk berjumpa anak mereka yang berusia di bawah 18 tahun," jelas beliau.

Beliau berkata, makan di premis (dine-in) juga dibenarkan untuk pelanggan yang sudah lengkap dos vaksin.

"Aktiviti pelancongan hanya dibenarkan dalam negeri yang sama melibatkan penginapan di hotel dan homestay bagi individu yang telah lengkap dua dos," katanya.

Ismail Sabri berkata, jawatankuasa turut bersetuju untuk melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti sukan, riadah dan rekreasi untuk negeri-negeri yang berada di bawah Fasa 1 PPN.

Artikel Berkaitan:

Antara ketetapan yang telah diputuskan ialah membenarkan aktiviti sukan indoor kecuali gimnasium dan fasiliti sukan serta rekreasi komersial tertutup turut dibenar beroperasi hanya kepada pelanggan yang telah lengkap vaksin.

"Penggunaan fasiliti perlu dilakukan secara janji temu di samping pematuhan prosedur operasi standard (SOP)," katanya.

Ujarnya, keputusan dilakukan berdasarkan penilaian risiko semasa yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN).