X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 28 Jun 2022

Undi 18: SPR diminta segera buat persediaan

A
A

SHAH ALAM - Sekretariat Undi Automatik 18 Tahun Barisan Nasional (BN) meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) segera melaksanakan usaha bagi memupuk penglibatan dan pemahaman anak muda dalam politik negara.

Ketua Pasukan Khas sekretariat tersebut, Datuk C Sivarraajh berkata, ia susulan arahan kerajaan supaya SPR bersiap sedia melaksanakan Undi 18 pada akhir tahun ini.

“Sekretariat Undi Automatik 18 Tahun BN berharap SPR akan segera bergerak untuk melaksanakan beberapa usaha termasuk penganjuran kelas-kelas pendidikan politik dan pentadbiran secara dalam talian melibatkan kerjasama rentas parti.

“Ia di samping usaha menggerakkan pelbagai inisiatif bagi menggalakkan pengundi muda untuk terus bersiap sedia,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada Selasa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pihaknya telah mengarahkan SPR untuk bersiap sedia bagi melaksanakan Undi 18 sebelum menjelang 31 Disember ini.

Beliau berkata, arahan itu dibuat sesuai dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching pada 3 September lalu.

Mengulas lanjut, Sivarraajh berkata, pihaknya menyambut baik pengumuman tersebut dan berharap kerajaan tidak akan merayu keputusan yang ditetapkan mahkamah berkenaan isu tersebut.

Menurutnya, kerajaan perlu mengakui bahawa sebarang tindakan yang menggambarkan ketidakseriusan pentadbiran negara dalam isu tersebut hanya akan menjauhkan lagi penglibatan anak muda daripada bersama-sama membangunkan negara.

“Pengumuman Wan Junaidi menunjukkan komitmen kerajaan melaksanakan Undi 18 selaras dengan gagasan Keluarga Malaysia daripada Perdana Menteri yang memberi penekanan kepada usaha membina negara bangsa lebih inklusif dengan penglibatan segenap masyarakat.

“Sekretariat Undi Automatik 18 Tahun BN berharap agar semua pihak terlibat akan terus mendukung dan menyokong usaha pemerkasaan hak anak muda demi masa hadapan masyarakat dan negara,” ujarnya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!