Rameli kawan rapat, biaya kos guaman Anwar

MOHAMAD EZAM
MOHAMAD EZAM
A
A
A

SHAH ALAM - Nama ahli perniagaan, Datuk Rameli Musa yang didakwa membayar wang berjumlah RM1.4 juta kepada Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown terus menjadi sebutan dari semasa ke semasa.

Buktinya, semalam Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mendedahkan bahawa Rameli merupakan sahabat karib, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bukannya rakan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, pada hari ini bekas Setiausaha Politik Anwar, Mohamad Ezam Mohd Nor pula secara terbuka menepis dakwaan Rafizi dan menjelaskan Rameli adalah kawan rapat Anwar.

Menurut Mohamad Ezam, beliau mengenali ahli perniagaan terbabit menerusi Anwar pada awal perjuangan Reformasi sekitar tahun 1998.

"Datuk Rameli diperkenalkan kepada saya oleh Datuk Seri Anwar sebagai kawan rapat yang sama-sama belajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).

ARTIKEL BERKAITAN: Rafizi muat naik gambar, dakwa rakan karib Hadi

"Beliau (Rameli) pada waktu itu menyatakan persetujuan membantu keperluan keluarga dan perjuangan Datuk Seri Anwar atas dasar persahabatan serta simpati pada nasib yang menimpa Datuk Seri Anwar sekeluarga," katanya dalam catatan Facebook, hari ini.

Dakwa Mohamad Ezam, selepas Anwar dipenjara ahli perniagaan terbabit membantu menyalurkan segala keperluan keluarga Anwar termasuk membiayai kos guaman perbicaraan mahkamah dan menyediakan wang jaminan buat ratusan reformis yang ditahan ketika era Reformasi.

Artikel Berkaitan:

Bukan itu sahaja, Rameli juga menyediakan keperluan perbelanjaan PKR untuk pelbagai aktiviti dan membiayai wang deposit calon-calon parti pada PRU11 (2004).

"Keikhlasan beliau jelas kerana sanggup membantu para sahabat pada saat sukar dan saat mereka tidak mempunyai kuasa," ujarnya.

Sehubungan itu, Mohamad Ezam menasihatkan Rafizi yang pada ketika awal perjuangan Reformasi masih di bangku sekolah supaya berhati-hati dan jangan bermain dengan api.

"Saya tidak mahu diheret dalam perdebatan politik kerana saya bukan lagi ahli politik apatah lagi perdebatan politik hari ini penuh dengan sampah kerakusan harta dan kuasa tanpa pertimbangan moral serta akhlak.

"Saya hanya ingin memberikan keadilan kepada seorang insan yang banyak berjasa kepada saya dan perjuangan," tegasnya.

Terdahulu, nama Rameli mula menjadi bualan selepas beliau didakwa membayar RM1.4 juta kepada Clare sebagai sebahagian daripada persetujuan menyelesaikan saman Abdul Hadi di luar mahkamah.