Kerajaan lindungi rakyat dalam agenda pembangunan nasional

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Kerajaan akan terus memberikan bantuan kewangan, pekerjaan dan insentif latihan untuk melindungi serta membuka lebih banyak peluang kepada rakyat dalam agenda pembangunan nasional.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, usaha tersebut merupakan komitmennya dalam memastikan proses pemulihan negara merangkumi secara menyeluruh dan inklusif.

“Untuk meningkatkan peluang, memberi ruang kepada mereka berusaha untuk diri mereka sendiri dan terus produktif, kerajaan akan terus memberikan insentif kewangan, pekerjaan atau latihan berterusan untuk memastikan bahawa tiada satu yang tertinggal, sementara kami merancang untuk keluar dari krisis dengan selamat,” katanya dalam ucapan majlis penutupan Forum Antarabangsa Pekerjaan Nasional (IPEF) 2021 secara dalam talian pada Rabu.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.

Saravanan membacakan teks ucapan Ismail Sabri pada majlis penutupan Forum Antarabangsa Pekerjaan Nasional (IPEF) 2021 secara dalam talian pada Rabu.
Saravanan membacakan teks ucapan Ismail Sabri pada majlis penutupan Forum Antarabangsa Pekerjaan Nasional (IPEF) 2021 secara dalam talian pada Rabu.

Turut hadir ialah Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, beberapa pendekatan jangka masa pendek dan panjang perlu diambil bagi mempercepatkan proses transformasi dalam pasaran buruh.

Ujar beliau, usaha memperluaskan pasaran buruh yang inklusif perlu disertakan dengan strategi integrasi semula.

Artikel Berkaitan:

“Ia penting untuk aktiviti seperti bantuan mencari pekerjaan, pengurusan kurang upaya, program keusahawanan, pendidikan vokasional dan latihan untuk diperkembangkan serta diperluaskan ke setiap lapisan populasi yang disasarkan.

“Penglibatan setiap lapisan masyarakat termasuk majikan, pekerja dan pencari kerja, graduan dan belia diperlukan untuk menghadapi krisis yang belum pernah terjadi sebelumnya.

“Oleh itu, setiap pemain perlu memainkan peranan dan tanggungjawab mereka secara bersama,” ujarnya.

Ismail Sabri turut mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang menyertai forum tersebut.

“IPEF 2021 merupakan forum antarabangsa pertama dalam perkhidmatan pekerjaan awam sejak Malaysia menjadi ahli Persatuan Perkhidmatan Pekerjaan Awam Dunia atau WAPES, menerusi Perkeso pada tahun 2018.

“Inisiatif ini melengkapkan fokus kerajaan untuk memastikan kesejahteraan rakyat Malaysia pada waktu sukar ini,” kata beliau.