Gelandangan bakal kendali Hijrah Warrior Mart: Shahidan

Shahidan meninjau tapak dan hasil produk pertanian kebun bandar Hijrah Warrior di Taman Desa pada Rabu
Shahidan meninjau tapak dan hasil produk pertanian kebun bandar Hijrah Warrior di Taman Desa pada Rabu
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pembukaan Hijrah Warrior Mart pertama yang bakal dikendalikan sekumpulan gelandangan dibuka di Teratak Muhibah Taman Desa di sini pada 1 Oktober ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, empat gelandangan terbabit bakal memperoleh gaji minima sebanyak RM1,200 sebulan selain tempat penginapan disediakan percuma.

Katanya, peserta Hjrah Warrior Mart itu juga akan diberi pendedahan khusus mengenai pengurusan perniagaan secara fizikal dan dalam talian bagi memudahkan orang ramai membeli produk-produk Hijrah Warrior Mart.

"Seramai empat gelandangan ini akan bekerja mengikut syif dengan gaji minima sebanyak RM1200 termasuk tempat penginapan disediakan kepada mereka secara percuma.

"Gerai Hijrah Warrior Mart pertama ini bakal dibuka di Teratak Muhibah Taman Desa pada 1 Oktober depan dan akan beroperasi dari jam 9 pagi hingga 9 malam," katanya selepas membuat tinjauan di Anjung Kelana di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebagai permulaan Hijrah Warrior Mart itu akan memberikan tumpuan kepada penjualan hasil produk pertanian dari Hiliran Anjung Kelana.

Menurutnya, ia selari dengan peranan peneraju kemakmuran komuniti bandar dan persekitaran mampan, Kementerian Wilayah Persekutuan menerusi Dewan Bandaraya Lumpur (DBKL) terus komited memastikan hasil produk pertanian kebun bandar Hijrah Warrior dipasarkan secara sistematik kepada orang ramai melalui pelaksanaan Hijrah Warrior Mart.

Beliau menambah, Hijrah Warrior Mart itu akan dijadikan hub keusahawanan sosial oleh badan bukan kerajaan (NGO) dan tokoh tokoh individu (NGI) bagi membolehkan golongan sasar ini terlibat secara langsung dalam sektor peruncitan dengan bekerja sebagai usahawan peruncitan.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai kepelbagaian hasil produktiviti kebun Hijrah Warrior, jenis tanaman akan diperluaskan kepada penanaman pokok-pokok buah-buahan hibrid jangka masa pendek seperti pokok pisang, nenas, buah naga atau jambu guava merah jambu.

"Pihak kementerian mengenalpasti kawasan kebun bersebelahan bangunan kosong Sekolah Kebangsaan (SK) Danau Perdana dengan keluasan 3.3 ekar yang akan menjadi nilai tambah kepada inisiatif ini," katanya.

Tambahnya, kementerian turut merancang memperluaskan konsep Hijrah Warrior Mart ini ke semua Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).