Ketua Penerangan PKR Negeri Sembilan dipecat

Surat penamatan perkhidmatan Yusop Tapar sebagai Ketua Penerangan
Surat penamatan perkhidmatan Yusop Tapar sebagai Ketua Penerangan
A
A
A

SEREMBAN - Krisis dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan makin meruncing apabila Yusof Tapar dipecat sebagai Ketua Penerangan PKR Negeri Sembilan berkuat kuasa pada Rabu.

Surat pemecatan beliau ditandatangani oleh Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun

Dalam surat berkenaan dinyatakan kedudukan Yusop sebagai Ketua Penerangan tidak wajar dikekalkan kerana perkembangan mutakhir dan kenyataan media secara terbuka yang dibuat olehnya pada 5 September lalu.

Mengesahkan perkara itu, Yusop ketika dihubungi Sinar Harian berkata, beliau tidak terkejut dengan pemecatannya itu dan telah pun bersedia sejak awal.

"Saya sudah menjangkakan ini tindakan yang akan dikenakan terhadap saya. Saya tidak sedih pun.

"Malah saya gembira kerana selepas ini saya lebih bebas untuk bercakap dan saya tidak mahu bersekongkol dengan orang yang boleh saya katakan telah memalukan parti PKR," katanya.

Jelasnya, beliau tidak kisah dengan jawatan itu dan pernah empat kali meminta untuk dipecat sebelum ini kerana tidak bersetuju dengan pentadbiran Aminuddin dalam parti.

Ujarnya, tindakan pemecatannya selepas membuat kenyataan media sebelum ini menunjukkan budaya parti tidak boleh ditegur.

Artikel Berkaitan:

"Dulu mana-mana Ketua Cabang yang lantang bersuara akan digantung daripada parti. Tak setuju sikit kena gantung kena pecat.

"Bagi saya ia budaya tak sihat untuk parti yang akhirnya akan membuatkan ahli parti 'fed up' dan rugikan parti," katanya.

Walaupun dipecat, kata Yusop, beliau tetap akan setia kepada parti dan akan terus bersuara jika ada yang dilihat tidak betul dalam parti.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan Kepimpinan PKR Negeri Sembilan sebulat suara menyatakan hilang kepercayaan terhadap pimpinan Pengerusi MPN yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Mereka terdiri daripada empat Ketua Cabang PKR iaitu Rasah, Port Dickson, Jelebu, Kuala Pilah; tiga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang (Rembau, Rasah dan Port Dickson); dua Timbalan Ketua Cabang PKR (Seremban dan Rembau); Ketua Wanita PKR Negeri, Amni Idris; Timbalan Ketua Wanita PKR Negeri, Rusnani Saring; Setiausaha Penerangan PKR Negeri, Madon Mislan; Ketua Penerangan PKR Negeri, Yusuf Tapar; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chuah, Datuk Yek Diew Ching dan mantan Ketua Jurulatih Jentera Pilihan Raya Negeri, Mdd Nordin Ismail.

Menurut Ketua Penerangan PKR Negeri, Yusuf Tapar, rombakan segera perlu dilakukan dalam MPN bagi memastikan parti itu kekal relevan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan secara bersama pada Ahad, Pengerusi MPN Negeri Sembilan itu tidak berusaha untuk merancang bagi mengukuhkan penguasaan politik Pakatan Harapan (PH) untuk terus kekal memerintah.