DAP hasrat tanding PRK Cameron Highlands

Lim Guan Eng melawat program 'Smart Green Community' di tapak pertanian dalam bandar Lebuh Padang Tembak, Air Itam selepas merasmikan program berkenaan, hari ini. - Foto Bernama
A
A

GEORGE TOWN - DAP berhasrat untuk bertanding bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands memandangkan ia merupakan kerusi tradisi parti itu.

Setiuasaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, pihaknya akan melaporkan perkara tersebut (bertanding) kepada PH.

"Ya tentu itu (kerusi Parlimen Cameron Highlands) akan ditandingi oleh parti DAP. Kita akan laporkan kepada PH dan memandangkan ini adalah kerusi DAP, secara tradisi akan ditandingkan semula oleh calon DAP," katanya selepas merasmikan program ‘Smart Green Community’ di Tapak Pertanian Dalam Bandar Lebuh Padang Tembak, Air Itam di sini, hari ini.

Guan Eng mengulas sama ada DAP akan meletakkan calon parti itu susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya semalam yang mengisytiharkan kemenangan BN bagi kerusi Parlimen itu pada PRU14 lepas, adalah terbatal dan tidak sah.

Hakim Datuk Azizah Nawawi semalam membuat keputusan pembatalan itu selepas mendapati bahawa terbukti wujud amalan rasuah yang diketahui dan mendapat keizinan oleh Anggota Parlimen kawasan itu, Datuk C Sivarraajh.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata beliau telah mengarahkan calon DAP bagi kerusi itu sebelum ini M. Manogaran untuk mengerahkan organisasi bagi tujuan tersebut (pilihan raya kecil).

"Tetapi saya difahamkan mereka (BN) akan membuat rayuan berhubung keputusan mahkamah ini. Jadi kita tunggu dahulu keputusan ini. Mungkin masa agak panjang lagi kerana saya difahamkan pendengaran kes ini mungkin pada bulan Januari atau akhir Januari dan selepas itu baru keputusan. Sekiranya ada apa-apa pilihan raya kecil mungkin selepas Tahun Baharu Cina, kita tunggu masa itu," katanya.

Pada 4 Jun lepas, calon DAP M. Manogaran memfailkan petisyen memohon perisytiharan bahawa keputusan PRU14 pada 9 Mei lepas bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia