Untung bersih separuh pertama TH turun kepada RM1.22 bilion

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Haji (TH) mencatatkan penurunan keuntungan bersih 2.2 peratus kepada RM1.22 bilion selepas mengambil kira perbelanjaan serta peruntukan zakat bagi tempoh enam bulan sehingga 30 Jun 2021, berbanding RM1.25 bilion untuk tempoh yang sama pada 2020.

Dalam kenyataan pada Rabu, TH berkata, pelaburan hartanah merupakan antara faktor penurunan keuntungan itu berikutan keadaan pasaran yang mencabar akibat pandemik di seluruh dunia.

“Jumlah pendapatan bagi enam bulan pertama yang berakhir 30 Jun 2021 berkurangan kepada RM1.52 bilion (sebelum potongan zakat) berbanding RM1.55 bilion untuk tempoh yang sama pada 2020, penurunan kecil satu peratus yang mencerminkan ketahanannya dalam keadaan ekonomi dan perniagaan yang sukar,” katanya.

Menurut TH, sebahagian besar pendapatannya diperoleh daripada pelaburan pendapatan tetap yang menyumbang sebanyak RM942.6 juta dalam tempoh setengah tahun pertama, merangkumi 62 peratus daripada jumlah pendapatan kasarnya.

“Pelaburan saham menyumbang RM219.9 juta untuk tempoh semakan, mencatatkan peningkatan berbanding RM184.2 juta pada tempoh yang sama tahun lepas. Pelaburan ekuiti menyumbang 14 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan.

“Pelaburan hartanah memperoleh pendapatan sebanyak RM174.7 juta, diikuti pelaburan pasaran wang dengan pendapatan RM161.8 juta,” katanya.

Bagaimanapun, TH berkata, kedudukan kewangannya kekal kukuh dengan aset berjumlah RM85.92 bilion melebihi liabiliti RM83.73 bilion pada 30 Jun 2021.

“Jumlah kos operasi juga hampir sama dengan kos pada tahun lepas susulan langkah pengurusan berhemah walaupun dalam keadaan ekonomi yang mencabar. TH sentiasa mengambil langkah untuk mengoptimumkan perbelanjaan bagi memastikan pengurusan kos yang cekap.

Artikel Berkaitan:

“Sehingga 30 Jun 2021, jumlah deposit di TH berjumlah RM81.14 bilion, iaitu paras tertinggi sejak penubuhan TH, 58 tahun lepas. TH mempunyai 8.3 juta pendeposit pada 30 Jun 2021,” katanya.

Keteguhan pencapaian kewangan TH mencerminkan pendekatan pelaburan yang strategik dan oportunistik dengan pengurusan kecairan yang mantap, berpandukan kepada Alokasi Aset Strategik (SAA) untuk meminimumkan kesan turun naik jangka pendek di pasaran.

“Mandat TH berdasarkan SAA ini adalah untuk menguruskan simpanan pendeposit untuk jangka panjang bagi menunaikan haji. Lebih separuh atau 58 peratus daripada aset TH telah diperuntukkan bagi pelaburan dalam instrumen pendapatan tetap seperti sukuk yang memberikan pulangan stabil dan selamat dalam jangka panjang.

“Pulangan pelaburan ekuiti TH juga mengatasi penanda aras Indeks Syariah Hijrah Bursa Malaysia yang turun 7.45 peratus dalam tempoh setengah tahun pertama. Ia memfokuskan kepada pelaburan saham dengan asas yang baik, berkualiti dari aspek ketahanan dan rekod prestasi dividen yang baik,” katanya. - Bernama