Polis buru lelaki tipu juruwang restoran RM900

Polis buru lelaki dipercayai terbabit dalam kes tipu sebuah restoran seperti dirakam dalam CCTV pada Selasa.
Polis buru lelaki dipercayai terbabit dalam kes tipu sebuah restoran seperti dirakam dalam CCTV pada Selasa.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Polis memburu seorang lelaki berhubung kejadian tipu melibatkan wang RM900 di sebuah restoran di Bandar Puncak Alam, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, kejadian kira-kira jam 6 petang itu berlaku selepas mangsa berusia 18 tahun yang bertugas di kaunter bayaran didatangi suspek lelaki.

Menurutnya, suspek dipercayai berpura-pura menghubungi pemilik restoran kononnya bagi memeriksa mesin daftar tunai (cash register).

"Mula-mula juruwang itu mengira bil yang diberikan suspek namun lambat.

"Suspek kemudian mengambil duit dengan alasan mahu cepat sambil bercakap menggunakan telefon," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.

Bagaimanapun, Ramli berkata, mangsa yang dipercayai terpedaya dengan helah suspek menyerahkan wang kepada lelaki berkenaan.

"Suspek melakukan perkara itu dalam tempoh empat minit sebelum terus keluar dari kedai makan berkenaan," katanya.

Menurut Ramli, mangsa tidak dapat mengenal pasti suspek berikutan memakai pelitup muka selain suspek juga tidak mengimbas aplikasi MySejahtera.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa mula tersedar apabila bertanya kepada majikan sekiranya suspek menghubunginya, tetapi majikan menafikan.

"Sehingga kini, polis masih belum mengenal pasti identiti suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK)," katanya.

Dalam pada itu, Ramli mengingatkan semua pemilik premis di daerah Kuala Selangor supaya mewajibkan penggunaan MySejahtera.

"Sesiapa yang ingin berurusan (di premis), tidak kira juruteknik atau sesiapa sahaja, wajib menggunakan aplikasi ini bagi mengelakkan kes penipuan seperti ini berulang," katanya.

Tular dua rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Facebook yang dimuat naik seorang pengendali Facebook pada Rabu.

Pemilik akaun Facebook terbabit meminta kerjasama orang ramai mengesan pelaku dalam rakaman CCTV yang mempunyai kaitan dengan penipuan terbabit.

"Kami hendak mencari lelaki ini. Mohon jasa baik warga Puncak Alam yang kenal (lelaki ini) bantu kami.

"Andai ada yang dapat beri info boleh mesej peribadi (DM) saya. Bukan duit yang kami mahu, tapi tidak mahu kes ini berulang," katanya.