X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 25 Jun 2022

Tiada kenaikan harga kit ujian pantas Covid-19 di Pulau Pinang

Mohd Ridzuan (tengah) pada sidang akhbar selepas membuat lawatan di kilang pengeluar kit ujian pantas Covid-19.
A
A

GEORGETOWN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang tidak mengesan sebarang perlanggaran harga siling kit ujian pantas antigen Covid-19 (ujian sendiri) seperti yang ditetapkan kerajaan dalam kalangan peruncit dan pemborong.

Pengarahnya, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, sebanyak 55 pemeriksaan dan pemantauan terhadap penjualan kit ujian pantas itu sudah dijalankan di seluruh negeri ini.

Menurutnya, tindakan itu ialah bagi memastikan pemborong dan peruncit mematuhi kepada penetapan harga maksimum kit ujian pantas berkenaan.

"Melalui operasi yang dibuat, kami dapati pemborong dan peruncit mematuhi harga maksimum diwartakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 oleh kerajaan.

“Operasi ini akan dijalankan dari semasa ke semasa dan sehingga 12 September ini, mana-mana peruncit seperti farmasi atau pemborong yang didapati menjual kit itu pada harga lebih tinggi daripada harga siling ditetapkan hanya akan diberikan amaran," katanya ketika sidang akhbar selepas membuat lawatan di Kilang Mediven, di sini pada Rabu.

Difahamkan kilang terbabit akan membekalkan kit ujian pantas antigen Covid-19 (ujian sendiri) di pasaran Pulau Pinang.

Mohd Ridzuan berkata, selepas 12 September, mereka yang menjualnya melebihi harga maksimum boleh dikenakan kompaun di bawah AKHAP 2011.

Jelasnya, individu yang didapati menjual peralatan itu melebihi harga maksimum boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali atau kompaun sehingga RM50,000 jika sabit kesalahan.

Syarikat yang melakukan kesalahan itu pula boleh didenda sehingga RM500,000 atau kompaun sehingga RM250,000 jika sabit kesalahan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau berkata, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan, KPDNHEP Negeri Pulau Pinang sudah menjalankan sebanyak 1,632 pemeriksaan dan pematuhan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan menghasilkan sebanyak 45 kes dengan jumlah kompaun berjumlah RM269,000.

Antara kesalahan yang dikesan ialah gagal mengimbas aplikasi MySejahtera dan gagal pamerkan had kemasukan pelanggan pada pintu masuk premis seperti restoran, kedai dobi dan lain-lain.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!