Akta sekat pengembangan agama bukan Islam perlu kajian terperinci

Faiz Fadzil
Faiz Fadzil
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengumuman kerajaan untuk menggubal Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam adalah sah di sisi Perlembagaan Persekutuan.

Ahli Majlis Pimpinan Parti Amanah Negara (Amanah) Faiz Fadzil berkata, ramai yang keliru dengan pengumuman itu sedangkan akta ini adalah bagi menyekat penyebaran agama bukan Islam ke atas orang Islam.

Menurutnya, akta tersebut juga langsung tidak membawa maksud menyekat penyebaran agama bukan Islam terhadap sesama warganegara bukan Islam.

"Hak ini adalah selaras dengan peruntukan Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut bahawa 'tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya'.

"Penggubalan undang-undang ini adalah selaras dengan Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa 'undang-undang negeri dan berkenaan dengan Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam'," katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian pada Rabu.

Faiz yang juga merupakan seorang peguam berkata, penggubalan Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam adalah selaras dengan peruntukan Perlembagaan dan ia sah serta perlu dihormati.

Menurutnya, pada masa sekarang, pendakwaan terhadap kesalahan di bawah enakmen sebegini di negeri-negeri perlu dibuat di mahkamah sivil walaupun undang-undang ini sendiri di bawah bidang kuasa Majlis Agama Negeri-Negeri.

"Ini menimbulkan kesulitan dalam penguatkuasaan undang-undang ini kerana perlukan libat urus antara penguat kuasa agama Islam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan mahkamah sivil kerana struktur penguatkuasaan sekarang memisahkan antara pendakwaan syarie dan pendakwaan sivil.

Artikel Berkaitan:

"Seharusnya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad melihat hal ini sebagai kekangan dalam penguatkuasaan dan mencadangkan cara-cara bagi mengatasi masalah ini," katanya.

Di samping itu, beliau mencadangkan supaya Menteri Hal Ehwal Agama memberikan tumpuan kepada aspek latihan penguatkuasaan dan pendakwaan kepada penguatkuasa agama dan pihak PDRM.

Katanya, sepanjang pengetahuan umum, undang-undang ini jarang sekali dikuatkuasakan melalui pendakwaan di mahkamah kerana wujud isu-isu kefahaman teknikal undang-undang yang belum dirungkai.

Beliau menambah, Rang Undang-Undang (RUU) bagi akta ini dibawa ke Parlimen kerana ia bertujuan dikuatkuasakan di Wilayah Persekutuan.

"Sesungguhnya undang-undang ini bukanlah sesuatu yang baharu kerana undang-undang sama telah lama wujud di dalam bentuk enakmen di hampir kesemua negeri-negeri di Malaysia.

"Sebagai contoh di Kedah undang-undang ini telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) pada tahun 1988, Johor pada tahun 1991 dan Selangor pada tahun 1988. Hanya Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak yang belum menggubal, melulus dan mewartakan undang-undang ini," katanya.

Beliau berkata, akta baharu dicadangkan itu adalah satu undang-undang sedia ada selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan tidak seharusnya dijadikan polemik politik untuk mewujudkan keresahan dan ketegangan kaum dalam kemajmukan Malaysia.

"Maka, Pas tidak seharusnya menggunakan undang-undang ini untuk dijadikan candu politik atau 'gasoline' membakar api perkauman.

"Kegagalan Pas meminda Akta 355 sehingga sekarang adalah bukti kegagalan kerajaan Persekutuan mengangkat martabat agama Islam walaupun sudah 18 bulan Pas menjadi kerajaan," katanya.

Justeru, kerajaan terutama Menteri Hal Ehwal Agama perlu mengadakan sesi konsultansi dan libat urus terlebih dahulu dengan semua pemegang taruh (stake holders) supaya penggubalan akta ini tidak menjadi satu polemik politik berbaur perkauman sempit tetapi satu pelaksanaan undang-undang yang menjamin keharmonian hubungan antara kaum dan agama dalam negara.

"Jangan ulangi lagi polemik RUU355, menang sorak kampung tergadai," katanya.

Pada Isnin, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary dilaporkan berkata, bahawa kerajaan akan memperkenalkan 11 RUU syariah baharu yang sedang digubal ketika ini termasuk Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam.

RUU Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam dibentangkan setelah Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur memutuskan bahawa masyarakat bukan Islam boleh menggunakan kalimah 'ALLAH'.