Naik taraf LRA Tupah: Lantik kontraktor tanpa proses tender

Shaiful Hazizy (dua dari kanan) ketika turun padang bersama pimpinan UMNO sempena lawatan Mahdzir ke projek pembangunan dan pemulihan kawasan bencana kepala air di Kedah pada Isnin.
Shaiful Hazizy (dua dari kanan) ketika turun padang bersama pimpinan UMNO sempena lawatan Mahdzir ke projek pembangunan dan pemulihan kawasan bencana kepala air di Kedah pada Isnin.
A
A
A

KUALA MUDA - Kerajaan disarankan supaya melantik kontraktor bersesuaian tanpa melalui proses tender bagi mempercepatkan projek naik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Tupah di Merbok.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Merbok, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, proses menamakan kontraktor melalui proses tender akan memakan masa sekurang-kurangnya enam hingga lapan bulan.

Beliau berkata, tindakan itu dilihat kurang efisien kerana kerja naik taraf loji terbabit perlu dipercepatkan untuk memenuhi keperluan penduduk di kawasan berkenaan.

Shaiful Hazizy
Shaiful Hazizy

"Saya yakin kerajaan mampu membuat keputusan melantik kontraktor terbaik bagi memendekkan masa dengan menggunakan peraturan dan tatacara kewangan sedia ada yang ketat dan telus," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata, kerajaan juga dinasihatkan supaya menetapkan satu garis masa untuk menyelesaikan projek naik taraf berkenaan dalam tempoh masa tertentu sebagai jaminan kepada rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan harus mencabar diri untuk rakyat. Perlu ada aku janji politik yang tinggi untuk memastikan masalah rakyat yang tertangguh sebegitu lama ini dapat diselesaikan," kata beliau.

Pada Isnin, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengumumkan peruntukan sebanyak RM35 juta untuk kerja-kerja menaik taraf LRA Tupah susulan bencana kepala air di Gunung Jerai pada 18 Ogos lalu.