'Tidak libatkan soal jawatan Menteri Besar'

Ismail (kanan) ketika sidang akhbar di pejabatnya di Wisma Negeri, Seremban pada Rabu.
Ismail (kanan) ketika sidang akhbar di pejabatnya di Wisma Negeri, Seremban pada Rabu.
A
A
A

SEREMBAN - Ketidakpuasan hati sebilangan barisan kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan terhadap Datuk Seri Aminuddin Harun tidak melibatkan soal pentadbirannya sebagai Menteri Besar, sebaliknya hanya dalam parti.

Naib Pengerusi I Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR negeri, Datuk Ismail Ahmad berkata, mereka hanya hilang kepercayaan terhadap Aminuddin bagi memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi MPN Negeri Sembilan.

"Kebetulan beliau (Aminuddin) adalah Menteri Besar. Sebab itu timbul dakwaan yang mengatakan ada cubaan menjatuhkan Menteri Besar.

"Ia dua perkara yang perlu dibezakan antara pentadbiran dalam kerajaan dan pentadbiran dalam parti," katanya ketika sidang media di pejabatnya di Wisma Negeri di sini pada Rabu.

Ismail berkata, beliau bersama rakan-rakan dalam parti mengambil inisiatif membuat gesaan supaya Pengerusi MPN digantikan dengan nama baharu kerana melihat terdapat beberapa kelemahan perlu diperbaiki.

Menurutnya, tindakan perlu diambil segera sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selain memastikan masalah dapat diselesaikan.

"Apa yang kita buat ini atas pertimbangan dan kepentingan parti. Saya harap semua faham dan jelas. Kita perlukan sebuah parti yang kuat sebagai tunjang Pakatan Harapan (PH) di Negeri Sembilan," jelas beliau.

Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu turut mengesahkan yang surat akuan bersumpah (SD) menolak kepimpinan Aminuddin sebagai Pengerusi MPN Negeri Sembilan sudah lama diserahkan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau sebagai anggota Exco Kerajaan Negeri tetap selari dengan pentadbiran kerajaan negeri yang sentiasa bekerja sebagai satu pasukan di bawah pimpinan Aminuddin.

"Kita tetap berdiri teguh di belakang Aminuddin sebagai Menteri Besar yang mewakili PH di Negeri Sembilan," kata Exco Pembangunan Luar Bandar Negeri Sembilan itu.

Ismail bagaimanapun enggan mengulas lanjut berkenaan kelemahan Aminuddin sebagai pemimpin dalam parti.

Katanya, ada beberapa perkara perlu dibuat secara lebih teratur supaya keadaan menjadi baik termasuk soal mengadakan mesyuarat, jawatan ahli majlis dan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

"Covid-19 bukan alasan untuk menghalang mengadakan mesyuarat untuk berbincang menyelesaikan masalah yang berlaku kerana ia boleh dibuat secara maya.

"Seingat saya, sudah enam bulan mesyuarat tidak diadakan. Mesyuarat MPN juga sepatutnya dibuat secara berkala supaya kita tahu apa masalah yang timbul.

"Apa pun kita menyerahkan kepada kebijaksanaan Presiden untuk menyelesaikannya. Saya juga difahamkan yang kami akan dipanggil mesyuarat tidak lama lagi," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya calon yang dirasakan sesuai bagi menggantikan Aminuddin, Ismail berkata, ia terserah kepada Presiden parti untuk membuat keputusan.