Kerangka kerja dasar luar tumpu diplomasi kesihatan

Saifuddin (kiri) berbual bersama Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya, Dr Roy Anthony Rogers (dua, kiri), pada lawatan sulung beliau di ISIS hari ini.-Foto Bernama
Saifuddin (kiri) berbual bersama Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya, Dr Roy Anthony Rogers (dua, kiri), pada lawatan sulung beliau di ISIS hari ini.-Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Diplomasi kesihatan akan menjadi tumpuan kerangka dasar luar dalam pentadbiran baharu yang akan mengemudi pendekatan Malaysia dalam menguruskan pandemik Covid-19 dan kesannya sekarang dan tiga hingga lima tahun akan datang.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, beliau akan mengatur mesyuarat bersama dengan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk membincangkan kerangka tersebut.

"Diplomasi kesihatan akan menjadi antara tumpuan utama dan kita akan bahagikan kepada dua sub tema apa yang perlu kita lakukan ketika sedang menghadapi pandemik (Covid-19) dan bahagian kedua mengenai tindakan pasca pandemik," katanya pada sidang akhbar sempena lawatannya ke Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) di sini pada Rabu.

Jumaat lalu, Saifuddin mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Perundingan Dasar Luar Negeri (CCFP), yang menjadi platform bagi pembentukan kerangka dasar luar melibatkan pegawai kanan kementerian, wakil perniagaan, masyarakat awam dan ahli akademik.

Beliau menyatakan pendekatan Malaysia harus bersifat inter-disiplin termasuk dalam bidang kesihatan awam, urusan antarabangsa, pengurusan, undang-undang, ekonomi, dasar perdagangan serta sains dan teknologi.

"ISIS telah melakukan beberapa perkara yang baik di bidang ini. Saya telah meneliti laporan yang saya terima pagi tadi. Saya fikir kita berada di landasan yang tepat untuk membentuk kerangka kerja ini, terutama berurusan dengan diplomasi kesihatan,” katanya.

Saifuddin yang kembali ke portfolio hal ehwal luar negeri buat kali kedua, mengumumkan pembentukan kerangka dasar luar negeri itu untuk pentadbiran baharu pada 1 September lalu, hari pertama beliau di kementerian. - Bernama

Artikel Berkaitan: