Bukti penyatuan ummah: Pas

Rosli
Rosli
A
A
A

KUANTAN - Pas Pahang menyifatkan kemenangan di PRK Semenyih membuktikan agenda penyatuan ummah semakin di terima rakyat terutamanya masyarakat Melayu.

Pesuruhjaya Pasnya, Rosli Abdul Jabar berkata, keputusan ini menunjukkan bahawa umat Islam dan Melayu telah menolak PH.

Menurutnya, namun begitu PH masih lagi menguasai pengundi bukan Islam di negara ini.

“Saya akui kekalahan PH juga berpunca apabila berlakunya kerjasama antara Pas dan UMNO yang berjaya mengumpulkan undi untuk kalahkan PH.

“Kerjasama ini dilihat sebagai kerjasama yang terbaik untuk mengalahkan PH pada PRU akan datang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kemenangan BN di PRK Semenyih dan penghargaan dari pemimpin BN dizahirkan kepada pemimpin serta ahli Pas yang membantu berkempen.

BN berjaya menawan semula kerusi DUN Semenyih selepas calonnya, Zakaria Hanafi memenangi persaingan empat penjuru pada pilihan raya kecil kawasan itu dengan majoriti 1,914 undi.

Zakaria, 58, meraih 19,780 undi untuk menewaskan calon PH Muhammad Aiman Zainali, 30, yang memperoleh 17,866 undi; Nik Aziz Afiq Abdul, 25, daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) (847 undi) dan calon bebas yang juga seorang aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng, 56, (725 undi).

Artikel Berkaitan:

Kemenangan itu juga menjadikan pembangkang mempunyai enam kerusi dengan lima bagi BN dan Pas ( satu kerusi). DUN di Selangor mempunyai 56 kawasan DUN.

Beliau berkata, agenda kerjasama ini akan diperkukuhkan lagi dengan menjadikan Islam sebagai agenda dan dasar utamanya.

Jelasnya, namun begitu Pas juga akan terus mengikat hubungan dengan masyarakat bukan Islam melalui Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) dan masyarakat.

Dalam perkembangan itu, Pas mengucapkan tahniah kepada BN kerana memenangi kerusi PRK Semenyih.