Universiti perlu tingkat digitalisasi selari IR 4.0

Ahmad Masrizal (tengah) bersama pihak pengurusan tertinggi UKM semasa lawatan rasmi beliau ke universiti berkenaan di Bangi pada Rabu.
Ahmad Masrizal (tengah) bersama pihak pengurusan tertinggi UKM semasa lawatan rasmi beliau ke universiti berkenaan di Bangi pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Pihak universiti disaran untuk meningkatkan keupayaan digitalisasi dalam kampus selari dengan era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) menerusi penekanan elemen Internet of Things (IOT), Sistem Physic Cyber (CPS) dan Artificial Intelligence (AI).

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Senator Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad berkata, digitalisasi dalam ekosistem pendidikan tinggi negara mampu menjadi satu wadah utama pada tahun akan datang.

“Intervensi akademik perlu dilakukan setiap universiti di negara ini tidak kira Institusi pengajian tinggi awam (IPTA) atau swasta (IPTS) agar ia selari dengan keperluan IR 4.0,” katanya ketika mengadakan lawatan rasmi ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi pada Rabu.

Kunjungan beliau bersama Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan Dan Pembangunan) KPT, Datuk Rosli Yaakub dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Datuk Dr Husaini Omar disambut Naib Canselor UKM, Profesor Datuk Ts Dr Mohd Ekhwan Toriman.

Ahmad Masrizal turut menaruh keyakinan tinggi terhadap keupayaan pihak pengurusan universiti bagi memastikan agenda tersebut dapat dijayakan sebaiknya.

“Ini waktunya berfikir secara kreatif dan melaksanakan perubahan besar. Jika kita bersatu untuk menjayakan objektif ini, negara bukan hanya akan pulih daripada pandemik, sebaliknya melakukan lonjakan digital untuk generasi masa depan.

“Kepentingan pendidikan digital dalam arus IR 4.0 membantu meningkatkan daya persediaan melalui pendedahan realiti dan praktikal kepada bakal pemimpin masa hadapan negara dalam pelbagai sudut sektor dan industri. KPT akan mendokong penuh semua usaha ini,” ujar beliau.

Sementara itu, Mohd Ekhwan turut merakamkan penghargaan atas saranan dan keprihatinan Ahmad Masrizal dalam memastikan UKM terus mendepani cabaran pendidikan tinggi di era pandemik dan terus berperanan sebagai universiti watan yang memberi sumbangan bermakna kepada pembangunan masyarakat serta negara.

Artikel Berkaitan: