X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 29 Mei 2022

Kutip botol air kencing tepi jalan

Kerja sukarela mengutip sampah di Jalan CSR dekat Ladang Selborne, Lipis hasil inisiatif Azizul Bahrim bersama ahli keluarga dan rakannya.
A
A

LIPIS - Bukan sahaja sampah, malah botol berisi air kencing juga antara barangan yang dibuang orang ramai di tepi jalan di simpang masuk Jalan CSR dekat Ladang Selborne di sini.

Itu antara pengalaman dihadapi Azizul Bahrim Abdul Aziz, 54, yang aktif menjalankan kerja sukarela membersihkan kawasan-kawasan di daerah ini.

Pembantu Kesihatan Awam di Majlis Daerah Lipis (MDL) itu berkata, dia terkilan dengan sikap segelintir pengguna jalan raya yang mementingkan diri sendiri membuang sampah merata-rata.

"Ada yang selamba membuang sampah dari dalam kenderaan walaupun nampak kami sedang mengutip sampah di laluan tersebut. Ada juga yang sedar dan mengutip kembali sampah mereka.

"Kami sudah lali dengan situasi ini. Malah, kami pernah jumpa botol berisi air kencing ketika melakukan kerja aktiviti pembersihan.

"Sabtu lalu, ketika menjayakan aktiviti mengutip sampah, sekali lagi kami jumpa botol berisi air kencing yang dibuang di simpang masuk jalan CSR dekat Ladang Selborne di sini," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Sementara itu, Azizul Bahrim berkata, aktiviti mengutip sampah tersebut adalah sempena Hari Pembersihan Sedunia dan sambutan kemerdekaan negara.

Menurutnya, sebanyak 50 kilogram sampah berjaya dikutip pada hari tersebut.

"Selain dapat membersihkan kawasan ini yang sering kotor akibat sikap tidak bertanggungjawab pengguna jalan raya, ia juga dapat merapatkan hubungan silaturahim antara keluarga.

"Saya juga dapat mendidik anak-anak dan memperkenalkan corak kerja saya yang juga banyak terlibat dalam aktiviti ini," katanya.

Menurutnya, ia juga dapat menjadi inspirasi kepada orang ramai supaya menjaga kebersihan dan tidak bergantung kepada mana-mana agensi.

Malah, dia juga bangga kerana ahli keluarganya termasuk dua anak lelaki berusia 19 dan 17 tahun turut serta dan seronok bersama-sama menjalankan kerja sukarela.

"Sepanjang Ogos lepas, sebanyak tiga aktiviti sebegini diadakan termasuk dua program bersama sebuah kelab basikal sekitar laluan-laluan di daerah ini," katanya yang telah bertugas di MDL selama 33 tahun.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!