Gudang simpanan minuman keras, mercun seludup diserbu

Mohd Haris menunjukkan minuman keras yang dirampas dalam Op Kontraban di Jalan Pantai Berahi, Putatan.
Mohd Haris menunjukkan minuman keras yang dirampas dalam Op Kontraban di Jalan Pantai Berahi, Putatan.
A
A
A

PENAMPANG - Sebuah gudang yang dijadikan lokasi penyimpanan minuman keras dan mercun seludup diserbu dalam Op Kontraban di Jalan Pantai Berahi, Putatan, di sini, pada petang Selasa.

Dalam operasi jam 3.05 petang itu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya merampas minuman keras dan mercun bernilai lebih RM500,000.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, hasil risikan dan maklumat berjaya menyerbu sebuah gudang yang menyimpan 3,986 katon minuman keras dan 40,500 biji mercun pelbagai jenama.

"Nilai keseluruhan minuman keras dan mercun yang dirampas selepas tafsiran cukai RM502,316.

"Tiada tangkapan dilakukan ketika serbuan dilakukan dan semua barang rampasan diserahkan kepada JKDM Sabah untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Mohd Haris menunjukkan mercun yang dirampas dalam Op Kontraban di Jalan Pantai Berahi, Putatan.
Mohd Haris menunjukkan mercun yang dirampas dalam Op Kontraban di Jalan Pantai Berahi, Putatan.

Mohd Haris berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana menyimpan barang-barang tidak berkastam.

Sementara itu, Mohd Haris berkata, operasi yang dijalankan bersama JKDM Sabah itu adalah untuk membanteras aktiviti penyeludupan khususnya di kawasan daerah ini.

Artikel Berkaitan:

"Objektif operasi bagi membanteras rangkaian pengedaran serta penjualan rokok seludup dan minuman keras tanpa cukai selain memastikan Penampang bersih daripada menjadi pusat penyimpanan barangan tanpa cukai.

"Sepanjang operasi bersepadu bersama JKDM Sabah dilaksanakan sebanyak empat kali serbuan dan rampasan berjaya direkodkan dalam tempoh dua bulan," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat setempat menyalurkan maklumat bagi membanteras aktiviti penyeludupan khususnya di Penampang.