Kalah dua kali, amaran jelas kepada PH

Nik Nazmi
Nik Nazmi
A
A
A

KUALA LUMPUR - PH perlu belajar daripada kekalahan PRK Semenyih dan Cameron Highlands berikutan ia amaran jelas kepada parti gabungan itu supaya menunjukkan prestasi tinggi dan menunaikan amanah setelah diberi undi.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, PH mengalami kekalahan kedua dan kehilangan kerusi buat kali pertama selepas PRU14 yang lalu.

“PH alami kekalahan PRK sekali lagi, kali ini di Semenyih. Kekalahan terbaru ini beri peringatan bahawa kita tidak alpa atau mengelakkan diri daripada menjawab persoalan yang sukar dan tanggungjawab mendatang.

“Pemimpin PH perlu menangani soalan-soalan penting berhubung kos sara hidup secara substantif. Kerajaan juga perlu lebih responsif terhadap keperluan rakyat dan memerangi rasuah tanpa henti.

“Janji-janji yang digariskan dalam manifesto 2018 mesti diakui dan ditunaikan secepat yang mungkin,” katanya dalam satu kenyataan.

Nik Nazmi yang juga Ketua Setiausaha Pengelola PKR berkata, beliau sudah menekankan berkali-kali bahawa kerajaan diukur berdasarkan pengurusan ekonomi serta kesungguhan terhadap proses pembaharuan institusi.

Katanya, masalah matlamat kerajaan yang kurang jelas, visi dan siapa kepimpinan masa depan menyukarkan kerja.

“Ia juga melemahkan keyakinan pengundi terhadap kita. Apabila pemimpin tidak jelas, dan siapa yang memimpin pun tidak jelas - ia akan menyebabkan perubahan yang mengakibatkan rakyat menderita.

Artikel Berkaitan:

“Pembaharuan mestilah berpusatkan keperluan rakyat. Cuma itu cara yang akan menjadikan kita berjaya. Kita harus ingat... kita sudah ada muafakat PH yang dipersetujui bersama.

“Sebelum ini sudah berkali-kali saya tekankan kerajaan PH diukur berdasarkan pengurusan ekonomi dan kesungguhan terhadap proses pembaharuan institusi,” katanya lagi.

Terdahulu, Ahli Parlimen Setiawangsa itu mengucapkan tahniah kepada BN atas kemenangan pada PRK DUN Semenyih.

Beliau turut berterima kasih kepada pasukan PH di Semenyih atas kerja keras dan berharap kekalahan tidak melunturkan semangat mereka.