X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 19 Oktober 2021

Vaksin Covid-19 jadi hadiah hari lahir

Siti Rohana Idris,41, (tengah) dan anaknya, Airoul Firhan Mohd Rosdi (kiri) yang memotong kek selepas menerima suntikan vaksin pada hari sama sambutan hari lahirnya yang ke-18 pada hari Rabu.
A
A

TUMPAT - Sambutan hari lahir ke-18 seorang remaja lelaki tahun ini amat bermakna apabila menerima ‘hadiah’ suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Kopeladar Wakaf Bharu di sini pada Rabu.

Lebih mengujakan apabila remaja itu, Ahmad Airoul Firhan Mohd Rosdi turut menerima kejutan kek hari lahir yang dibawa oleh ibunya, Siti Rohana Idris,41, untuk disambut bersama para petugas barisan hadapan.

Kata anak sulung daripada dua beradik itu, dia sangat terkejut dan teruja apabila menerima panggilan untuk mendapatkan suntikan vaksin pada tarikh hari lahirnya iaitu 8 September.

“Saya berasa ragu-ragu mendaftar pada 11 Ogos lalu memandangkan belum lagi cukup umur 18 tahun namun setiap hari memeriksa MySejahtera kerana tidak sabar untuk divaksin.

“Apabila mendapat tarikh untuk suntikan dos pertama Pfizer pada hari lahir saya yang ke-18, saya berasa teruja dan menerimanya sebagai hadiah yang sangat bermakna,” katanya ketika ditemui di sini pada Rabu.

Ujarnya, dia kini menuntut dalam jurusan Sains di Kolej Matrikulasi Kedah dan terpaksa ‘ponteng' satu kelas yang dijalankan secara dalam talian pada Rabu untuk hadir ke PPV, namun sudah dimaklumkan kepada pensyarahnya malam tadi.

Siti Rohana Idris,41, (tengah) bersama anak sulungnya, Ahmad Airoul Firhan Mohd Rosdi, 18, (kiri) yang hadir bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Kopeladar Wakaf Bharu, Tumpat pada Rabu.
Siti Rohana Idris,41, (tengah) bersama anak sulungnya, Ahmad Airoul Firhan Mohd Rosdi, 18, (kiri) yang hadir bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Kopeladar Wakaf Bharu, Tumpat pada Rabu.

“Semalam (Selasa) saya sempat menduduki satu ujian secara dalam talian sebelum bersiap untuk ke PPV pada jam 9 pagi ini.

“Saya sangat teruja dapat menerima vaksin sebagai persediaan sekiranya institusi pengajian tinggi dapat dibuka dalam masa terdekat yang memerlukan saya melakukan rentas negeri,” katanya.

Remaja itu berharap lebih ramai individu sebayanya mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 untuk memutuskan rantaian pandemik sekali gus dapat mencapai imuniti kelompok seperti yang disasarkan kerajaan.

Dalam pada itu, Siti Rohana yang berkongsi kegembiraan itu menempah 50 pek pulut kuning untuk diagihkan kepada petugas di PPV berkenaan di samping sebiji kek hari jadi yang ditaja oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) yang dikongsi bersama petugas barisan hadapan.

“Saya berniat menceriakan anak sulung saya dalam keadaan dua tahun mengharungi pandemik selain menghargai petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus selama ini.

“Sambutan tidak dapat diraikan secara meriah tetapi ini tetap menjadi kenangan terindah buat kami sekeluarga,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!