Bersatu tawar lapisan baharu tanpa bagasi politik

Wan Saiful
Wan Saiful
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menawarkan penggerak lapisan baharu yang tidak ada bagasi politik (political baggage) dalam parti tersebut.

Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, lapisan tersebut bukan dinilai mengikut perbezaan umur, sebaliknya mengikut sejarah politik mereka yang masih hijau dan segar.

“Yang berumur ‘senior’ pun masih saya gelar lapisan baharu jika sejarah politik mereka masih hijau dan segar. Yang penting mereka tiada 'political baggage'.

“Yang membawa huru-hara kepada negara semuanya lapisan lama yang ada kepentingan. Lapisan baharu bukan penyebab masalah, malah mereka senak melihat ahli politik bermasalah yang sengaja menimbulkan lebih banyak masalah,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau pada Rabu.

Wan Saiful berkata, Bersatu mesti lebih berani dari pelbagai sudut termasuk memberi ruang untuk lapisan baharu.

“Mesti berani beri kepercayaan kepada lebih ramai muka baharu dan jangan benarkan budaya hanya percaya orang keliling menjadi barah.

“Kitalah yang boleh menaikkan lapisan baharu dengan agenda yang tulus, baik untuk negara mahupun untuk parti.

“Saya yakin, jika kita membulatkan tekad, memberanikan diri dan memperjelaskan tawaran kita kepada rakyat, bukan sahaja kita boleh berbangga kerana telah mencapai usia lima tahun pada hari ini, malah kita boleh yakin akan terus memimpin pada tahun-tahun akan datang,” jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Wan Saiful turut memaklumkan sebuah majlis sambutan rasmi bagi meraikan penubuhan parti yang memasuki tahun kelima itu bakal diadakan pada Jumaat depan.

Menurutnya, parti berkenaan menempuh pelbagai cabaran dalam usaha memupuk perpaduan politik Melayu bumiputera.

“Perpaduan politik Melayu penting kerana ia adalah penentu kepada kestabilan negara hari ini. Kestabilan itu akan membawa kemakmuran kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama,” ujarnya.