Cherating masih 'sendu', pengusaha rayu benarkan rentas negeri

Jalan raya lengang walaupun sektor pelancongan domestik telah dibuka.
Jalan raya lengang walaupun sektor pelancongan domestik telah dibuka.
A
A
A

KUANTAN - Sektor pelancongan di Cherating masih perlahan walaupun Pahang sudah bersedia menerima pelancong domestik pada awal bulan ini.

Tinjauan Sinar Harian ke Cherating mendapati, rata-rata pemain industri sektor itu mahu sektor pelancongan dibuka secara menyeluruh dengan membenarkan aktiviti rentas negeri bagi tujuan melancong.

Mereka mendakwa tindakan kerajaan hanya membenarkan aktiviti pelancongan dari negeri yang sama untuk bercuti tidak mampu merancakkan sektor-sektor itu seperti sebelum ini.

Walaupun ada usaha kerajaan negeri membantu operator pelancongan di Pahang, namun ia tidak banyak meringankan beban dipikul pengusaha chalet dan inap desa di sekitar Pantai Cherating.

Sunyi sepi tanpa kehadiran pelancong.
Sunyi sepi tanpa kehadiran pelancong.

Pemilik Hafiz Cherating Activities, Hafiz Abd Majid, 51, mengakui jumlah kedatangan pelancong masih belum dapat mengatasi kos operasi ditanggung kebanyakan operator pelancongan di Cherating.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ini kerana pelancong masih belum bersedia untuk melancong, selain hanya penerimaan pelancongan dalam negeri sahaja.

"Baru seminggu pembukaan sektor ini, tidak banyak tempahan diterima, kita yakin mereka (pelancong) masih belum berani untuk datang. Kita pun belum bersedia sepenuhnya kerana banyak benda perlu diteliti, seperti prosedur operasi standard (SOP) dan lengkap dua dos vaksin.

"Begitu juga kebenaran merentas negeri yang belum diberikan, ini juga menyukarkan kami bangkit sejak tahun lalu. Benda seperti ini masih belum jelas, jadi buat masa ini, pembukaan sektor pelancongan (domestik) tidak banyak mengubah suasana Cherating yang sebelum ini meriah dengan pelancong dari dalam dan luar negara,” katanya ketika ditemui di Cherating pada Rabu.

Hafiz yang sudah 14 tahun berkecimpung dalam sektor pelancongan berkata, sebelum Covid-19 melanda, sebanyak 11 bot digunakan membawa pelancong melihat kelip-kelip dengan kehadiran sehingga 250 orang pelancong setiap malam.

Namun kini, dia menggunakan dua buah bot sahaja untuk aktiviti seumpamanya.

“Jika dulu, kami mempunyai antara lima hingga tujuh bot untuk ditawarkan kepada pengunjung bagi melihat kelip-kelip di sepanjang Sungai Cherating, kini kami boleh sediakan sebuah bot sahaja untuk satu keluarga.

“Ini sudah tentu membebankan kami yang masih perlu menanggung kos operasi elektrik, air dan pelbagai lagi perbelanjaan lain bagi menguruskan tempat ini,” ujarnya.

Hafiz menunjukkan hanya satu bot digunakan untuk aktiviti melihat kelip-kelip di Cherating.
Hafiz menunjukkan hanya satu bot digunakan untuk aktiviti melihat kelip-kelip di Cherating.

Sementara itu, pengusaha chalet dan kedai makan, Baharudin Zahid, 60, pula mahu kerajaan segera mempertimbangkan aktiviti rentas negeri bagi memulihkan kembali sektor pelancongan yang disifatkan seperti nyawa-nyawa ikan.

Selain itu, kerajaan juga diminta meneliti jenis bantuan paling sesuai bagi menyokong sektor pelancongan, terutama lokasi tumpuan pelancong yang bersifat bermusim seperti pulau dan kawasan pantai di negeri ini.

Menurutnya, industri pelancongan bermusim di pulau dan pantai berbeza dengan lokasi yang boleh dikunjungi sepanjang tahun.

Baharudin
Baharudin

"Macam di Cherating, walaupun lokasi ini menjadi tumpuan ketika monsun timur laut bagi peminat sukan luncur air, tapi boleh dikatakan sepanjang tahun boleh dikunjungi.

“Jadi, bentuk bantuan juga sepatutnya berbeza dengan pengusaha (pelancongan) di tempat lain. Kami di sini sudah dalam keadaan ‘tenat’ dan kalau sektor pelancongan tidak boleh dibuka secepat mungkin, memang bermasalah untuk kami teruskan,” katanya.

Seorang lagi pengusaha chalet yang terletak di Kampung Cherating, Normala Suhana Wahida Basirun, 35, menjelaskan, pihakhya sudah bersedia sepenuhnya untuk menerima kehadiran pelancong.

Suhada membersihkan rumah inap desa miliknya dan mahu kerajaan membuka sepenuhnya sektor pelancongan.
Suhada membersihkan rumah inap desa miliknya dan mahu kerajaan membuka sepenuhnya sektor pelancongan.

Bagaimanapun, dia mengharapkan kerajaan membenarkan mereka yang sudah lengkap mendapatkan dua dos vaksin keluar melancong.

“Kalau boleh kerajaan benarkan rentas negeri kerana ramai yang datang ke Cherating adalah dari Kuala Lumpur dan Selangor, bukannya orang tempatan,” katanya.