RM60 juta bantu sekolah tahfiz, pondok, SAR terkesan PKP

Ahmad Marzuk
Ahmad Marzuk
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak RM60 juta daripada RM100 juta yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2021 telah digunakan untuk membantu sekolah-sekolah tahfiz, pondok dan sekolah agama rakyat (SAR) yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary memaklumkan, perkara itu diterangkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Abdul Aziz Jusoh kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad dalam sesi taklimat bersama pada petang Selasa.

Beliau berkata, itu adalah sebahagian daripada usaha Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) supaya institusi pendidikan Islam mampu berdiri utuh di sebalik cabaran yang melanda.

Menurutnya, selain penguatkuasaan, pengukuhan aspek pendidikan juga merupakan suatu nadi yang penting dalam memartabatkan Islam.

"Tanpa institusi pendidikan, Islam tidak akan mampu berdiri utuh, kerana tiada insan yang mampu mengamalkan nilai ajaran Islam itu sendiri

"Saya rasa bersyukur atas usaha Jakim yang terus menerus mempergiatkan usaha pengukuhan institusi pendidikan Islam, dalam menyelaras dan mentadbir hal ehwal Islam di Malaysia.

"Peranan Jakim amat diperlukan bagi memastikan syiar Islam terus dijunjung sebagai agama Persekutuan," katanya dalam kenyataan di laman Facebook beliau pada Selasa malam selepas berakhir taklimat bersama Idris.

Dalam pada itu, Ahmad Marzuk yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa berkata, dalam taklimat berkenaan, beliau turut menegaskan supaya penekanan turut diberi kepada pemerkasaan akidah Islam yang sebenar.

Artikel Berkaitan:

"Ini supaya masyarakat (dapat) difahamkan berkenaan pemahaman akidah yang sebenar berdasarkan dalil dan hujah yang sahih.

"Semoga dengan usaha ini, nilai-nilai Islam akan terus berkembang dan meresap ke dalam jiwa seluruh rakyat Malaysia," katanya.