X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 25 Jun 2022

HSKLU: Wakil orang asli dakwa sesi pendengaran awam dianjur tergesa-gesa

Shaq (kanan) menunjukkan memorandum bantahan penyahwataan HSKLU yang diserahkan kepada kerajaan Selangor, pada Rabu.
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor didakwa menganjurkan sesi pendengaran awam bagi penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) secara tergesa-gesa pada November tahun lalu.

Aktivis orang asli, Shaq Koyok, 36, yang merupakan anak tempatan bersama penduduk di beberapa kampung berhampiran HSKLU berkata, dia hanya menerima notis berkenaan dalam tempoh empat hari sebelum penganjuran sesi pendengaran awam itu yang berlangsung di Pulau Carey, Kuala Langat.

Shaq berkata, berikutan itu, ramai kalangan penduduk setempat dan masyarakat orang asli tidak dapat mengikuti sesi pendengaran awam berkenaan bagi menyatakan bantahan terhadap penyahwartaan HSKLU.

"Lokasi sesi pendengaran awam itu yang jauh dan notis pemberitahuan yang lewat menyebabkan ramai orang asli tidak dapat hadir bagi menyatakan bantahan mereka," katanya selepas menyerahkan memorandum bantahan penyahwartaan HSKLU bersama Gabungan Pertahankan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (PHSKLU) kepada kerajaan Selangor di luar pekarangan Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor di sini, pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Nyah warta HSKLU terima 45,423 bantahan

Sebanyak 15 NGO yang turut sama menyerahkan memorandum bantahan berkenaan antaranya terdiri daripada Center for Orang Asli Concerns (COAC), Five Arts Centre dan Global Environment Center (GEC).

Dalam pada itu, Shaq berkata, pada awal Februari tahun lalu, lima perkampungan orang asli di sekitar HSKLU telah bersepakat mahu menyerahkan memorandum bantahan penyahwartaan hutan tersebut, namun tidak mendapat sebarang maklum balas daripada pihak berkaitan.

"Kampung-kampung terlibat adalah Kampung Orang Asli Pulau Kepas, Kampung Seri Cheeding, Kampung Bukit Kamandol, Kampung Bukit Merak dan Kampung Bukit Kecil," katanya.

Di samping itu, Shaq berkata, HSKLU mempunyai banyak hasil sumber hutan yang digunakan oleh orang asli setempat sebagai mata pencarian.

Katanya, makanan seperti ubi hutan, pucuk meranti, paku-pakis merah dan buah-buahan masih boleh didapati di hutan berkenaan.

"HSKLU ini merupakan sumber terakhir buat orang asli sekiranya mereka berdepan kekangan kewangan khususnya ketika pandemik ini," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!