Penduduk bantah pengambilan tanah kubur orang Islam

Mustaqim (kiri) dan Zool Amali bersama wakil penduduk lain membantah sebarang usaha untuk mengambil alih tanah perkuburan orang Islam.
Mustaqim (kiri) dan Zool Amali bersama wakil penduduk lain membantah sebarang usaha untuk mengambil alih tanah perkuburan orang Islam.
A
A
A

SEREMBAN - Seramai 666 penduduk di Bandar Tasek Senangin di Lenggeng di sini membantah sebarang usaha mengambil alih tanah seluas 10.5 hektar di situ yang telah diwartakan sebagai tanah perkuburan orang Islam.

Wakil penduduk, Mustaqim Mustaza, 40, berkata, pihaknya difahamkan sebanyak 0.8 hektar tanah berkenaan mahu diambil untuk dijadikan tapak perkuburan bukan Islam.

"Ia atas alasan tanah perkuburan kami ini besar. Kami harap tanah yang telah diwartakan untuk tapak kubur orang Islam ini tidak diganggu gugat, carilah tanah alternatif di tempat lain.

"Kami tiada apa-apa isu lain kerana faham kita hidup sebagai masyarakat berbilang kaum," katanya pada pemberita.

Mustaqim
Mustaqim

Menurut beliau, terdapat lebih 1,000 buah rumah di kawasan perumahan berkenaan yang 95 peratusnya adalah penduduk Islam.

Jelas beliau, buat masa ini jenazah penduduk di situ akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Machang Hulu yang terletak kira-kira dua kilometer dari Bandar Tasek Senangin.

"Disebabkan kariah kami belum ada masjid, jadi soal khairat kematian kami bernaung di bawah kariah Masjid Sungai Machang Hulu dan secara tidak langsung kami menumpang di tanah perkuburan mereka.

Artikel Berkaitan:

Selain itu katanya, memorandum bantahan telah pun dihantar kepada Exco Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Sembilan, J Arul Kumar serta turut dipanjangkan kepada Menteri Besar dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Seremban, Zool Amali Hussein berkata, ketidakpuasan hati mereka bukan untuk mewujudkan rusuhan kaum tetapi mahu pihak kerajaan lebih sensitif.

"Saya turut serta dalam bantahan ini bukan atas tiket parti politik tetapi sebagai orang Islam dan sebagai penduduk Lenggeng.

"Tanah ini telah diwartakan sebagai tanah perkuburan orang Islam, tapi kenapa pula nak diambil? Isu sebegini boleh mengundang percikan api rusuhan kaum," katanya.