X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 01 Julai 2022

Covid-19 rekod 1,012 kes kematian di Negeri Sembilan setakat Ogos

Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A

SEREMBAN - Negeri Sembilan merekodkan sebanyak 1,012 kes kematian akibat Covid-19 bagi tempoh Mac 2020 hingga 31 Ogos lepas, demikian sidang Dewan Undangan Negeri diberitahu pada Rabu.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, jumlah itu membabitkan pelbagai peringkat umur antara 11 sehingga lebih 100 tahun.

“Seremban mencatatkan angka tertinggi iaitu seramai 665 individu, Port Dickson (100), Jempol (65), Tampin (54), Kuala Pilah (54), Rembau (46) dan Jelebu (28).

“Kerajaan negeri telah menyumbangkan RM1,000 kepada waris keluarga yang meninggal dunia bagi meringankan beban mereka, membabitkan peruntukan sebanyak RM116,000 setakat Julai lepas,” katanya menjawab soalan Chew Seh Yong (PH-Lobak) yang ingin tahu jumlah kematian akibat Covid-19 di negeri ini.

Dalam pada itu, menjawab soalan Yap Yew Weng (PH-Mambau) mengenai perkembangan lantikan hospital dan klinik swasta sebagai pusat pemberian vaksin (PPV), Veerapan berkata, sebanyak 81 fasiliti kesihatan di beberapa daerah termasuk Seremban sedang beroperasi sebagai PPV setakat 31 Ogos lepas.

Beliau berkata, sebanyak 157,052 dos vaksin Covid-19 telah dibekalkan kepada hospital swasta, 68,379 dos (klinik swasta) dan 10,066 (Ambulatory Care Center) bagi tempoh berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repah itu berkata, seramai 84 pesakit mental telah didiagnos di klinik-klinik kesihatan di negeri ini, antara lain membabitkan masalah kemurungan, skizofrenia dan kegelisahan, bagi tempoh Januari 2020 hingga Jun 2021.

Selain itu, beliau berkata, sebanyak 25 kes bunuh diri direkodkan di negeri ini bagi tempoh Januari tahun ini hingga Julai lepas melibatkan pelbagai faktor seperti masalah kewangan, tekanan perasaan dan salah guna dadah.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mustapha Nagoor (BN-Palong) yang ingin tahu jumlah pesakit mental dan kes bunuh diri yang direkodkan di Negeri Sembilan. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!