X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 21 Mei 2022

Penjawat awam direman kes rogol anak tiri

Suspek yang berusia 38 tahun (tengah) dikawal polis keluar dari lokap menuju ke Mahkamah Majistret Kota Bharu pada Rabu.
A
A

KOTA BHARU - Seorang penjawat awam kerani unit kewangan ditahan reman enam hari di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu bagi membantu siasatan kes rogol anak tirinya yang dipercayai berlaku sejak tiga tahun lalu bermula ketika mangsa berusia 11 tahun.

Reman terhadap suspek yang berusia 38 tahun dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret, Rusli Ahmad.

Perintah reman berkuat kuasa hari ini sehingga Isnin depan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud ketika dihubungi berkata, suspek ditahan di Guchil Bayam di sini pada jam 5.30 petang Selasa selang beberapa jam selepas mangsa yang berusia 14 tahun membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini.

Katanya, kejadian terbaharu gadis tersebut dirogol dipercayai berlaku pada jam 8 pagi, Isnin lalu.

“Mangsa yang sudah tidak tahan dengan perbuatan suspek bertindak menceritakan kejadian kepada ibu saudaranya sebelum dibawa oleh ibunya sendiri ke balai polis.

“Mangsa tinggal bersama ibu kandung dan bapa tirinya sejak tahun 2014 dan mendakwa dirogol oleh lelaki itu sejak berusia 11 tahun,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Ujar beliau, kejadian dikatakan berlaku semasa ibu mangsa tidak ada di rumah.

“Mangsa sebelum ini merahsiakan kejadian dan tidak menceritakan kepada sesiapa pun kerana takut dengan ugutan suspek,” katanya.

Beliau berkata, mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) bagi rawatan dan pemeriksaan lanjut.

“Hasil pemeriksaan oleh pegawai perubatan mendapati ada kesan perbuatan baru dan lama pada kemaluan mangsa.

“Suspek kemudian ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara 10 tahun hingga 30 tahun serta sebat,” katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!